AmInvestment mulakan liputan terhadap Bintulu Port dengan saranan 'beli', FV RM6.05 | DagangNews Skip to main content

AmInvestment mulakan liputan terhadap Bintulu Port dengan saranan 'beli', FV RM6.05

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 12 Sept - AmInvestment Bank Research memulakan liputan terhadap Bintulu Port Holdings Berhad dengan saranan 'beli' pada nilai wajar (FV) RM6.05 sesaham.

 

Penarafan itu berdasarkan keuntungan harga kepada pendapatan (PE) 22 kali ganda untuk tahun kewangan 2023 (FY23) pada diskaun kira-kira 9% kepada purata wajaran PE satu tahun.

 

"Kami menjangkakan eksport gas cecair asli (LNG) kekal berdaya tahan kerana permintaan global dijangka kekal kukuh kesan daripada kekurangan gas di Eropah.

 

"Malaysia merupakan pengeksport LNG kelima terbesar di dunia, menyumbang 7% daripada eksport LNG global pada 2021 dengan sebahagian besarnya datang dari Sarawak," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma itu berkata, Pelabuhan Perindustrian Samalaju dijangka menerima manfaat daripada pembesaran Taman Perindustrian Samalaju (SIP), yang disokong oleh inisiatif Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE).

 

Kapasiti pengeluaran tahunan dalam SIP dijangka meningkat sebanyak 17% pada FY22 serta 8% pada FY23 dan pada masa ini terdapat enam pelabur dalam SIP.

 

Katanya, pengembangan SIP termasuk peningkatan kapasiti pengeluaran Press Metal sebanyak 50% pada FY22 dan pengeluaran komersial Kompleks Fosfat Bersepadu Samalaju Malaysia Phosphate Additives pada FY23 bertambah sebanyak 8% kepada keseluruhan kapasiti.

 

Firma itu menjangkakan, kilang Wenan Steel akan menggandakan kapasiti pengeluaran SIP pada FY25 dan mereka menjangkakan pertumbuhan mapan SIP dalam tempoh tiga tahun akan datang dengan akses kepada tenaga hijau yang agak murah dan bekalan air yang konsisten.

 

"Bintulu Port sedang menjalankan rundingan pembaharuan konsesi dan menyasarkan tarif yang lebih tinggi memandangkan caj pengendalian terminal pelabuhan itu lebih rendah.

 

"Tarif kargo kumpulan itu kali terakhir disemak 39 tahun lalu pada 1983 manakala tarif kontena dinaikkan 23 tahun lalu pada 1999," katanya. - DagangNews.com