AmInvestment mulakan liputan terhadap CTOS Digital dengan saranan 'beli', FV RM1.80 | DagangNews Skip to main content

AmInvestment mulakan liputan terhadap CTOS Digital dengan saranan 'beli', FV RM1.80

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 7 Dis - AmInvestment Research memulakan liputan terhadap CTOS Digital Holdings dengan saranan 'beli' pada nilai wajar (FV) RM1.80 sesaham.

 

Firma itu berkata, saham itu memiliki potensi pulangan sebanyak 28% (26% potensi keuntungan modal dan 2% hasil dividen).

 

Katanya, potensi itu didorong oleh kedudukan unik syarikat dalam pasaran yang kurang ditembusi.

 

"CTOS merupakan agensi penarafan kredit yang dominan di Malaysia dengan bahagian pasaran yang besar sebanyak 72% berdasarkan hasil termasuk maklumat proprietari yang membolehkan firma itu menyediakan penawaran produk yang lebih luas yang meliputi setiap peringkat pengguna dengan analisis data yang tepat.

 

"Ditambah dengan perbelanjaan infrastruktur keselamatan data dan keperluan untuk mendapatkan kepercayaan pengguna, peserta baharu memerlukan pelaburan awal yang besar untuk berdaya saing," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma itu berkata, kumpulan itu juga akan menyelaraskan operasi dan memaksimumkan sinergi pengambilalihan baru-baru ini iaitu RAM Holdings dan Juris Technologies.

 

Katanya, penambahan itu memberikan CTOS peluang jualan silang serta keupayaan untuk menginovasi produk baharu dan meningkatkan penawaran sedia ada.

 

"Berada pada kedudukan yang baik untuk mengikuti trend baharu perbankan digital dan perkhidmatan kewangan, CTOS dijangka memacu keperluan untuk proses keputusan kredit masa nyata dan data pengguna alternatif.

 

"CTOS memperuntukkan belanjawan yang besar untuk menaik taraf analitik dan platform membuat keputusannya menambah nilai kepada cadangannya dalam ekonomi digital," katanya. - DagangNews.com