AmInvestment nasihat pelabur untuk terus berhati-hati terhadap sektor sarung tangan | DagangNews Skip to main content

AmInvestment nasihat pelabur untuk terus berhati-hati terhadap sektor sarung tangan

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 18 April - AmInvestment Bank Research menasihatkan pelabur untuk terus berhati-hati dan terus memerhati sektor sarung tangan untuk bagi dua suku lagi tahun ini kerana purata harga jualan (ASP) dijangka terus meningkat pada suku kedua 2023.

 

Ketika ini, firma itu berkata, pengeluar sarung tangan di Malaysia mengalami penurunan kadar penggunaan kilang pada suku kedua 2023 menyebabkan kenaikan ASP. 

 

Katanya, pembuat sarung tangan di bawah liputan firma itu menunjukkan peningkatan jumlah jualan antara 6% hingga 20% antara suku keempat 2022 hingga awal 2023.

 

"Ia memberi bayangan pengedar sarung tangan getah masih mempunyai inventori dan menimbulkan risiko untuk menangguhkan pengisian atau lebih lewat daripada andaian kami menjelang suku ketiga 2023.

 

"Kadar penggunaan kilang yang dipertingkatkan dengan mudah akan menyebabkan pelabur beranggapan bahawa pelanggan mula menambah semula inventori yang semakin berkurangan selepas terlebih beli pada 2021," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma itu percaya, kenaikan harga saham yang terlalu optimis didorong oleh perdagangan atau tujuan penjejakan prestasi, berbanding keputusan pelaburan asas.

 

Berdasarkan data Bloomberg, firma itu percaya bahawa kos purata kebanyakan pelabur institusi ialah RM0.98/saham (berbanding RM1.05/saham) untuk Top Glove, RM1.95/saham (berbanding RM2.10/saham) untuk Hartalega dan RM1.29/saham (berbanding RM1.36/saham sekarang) untuk Kossan.

 

Firma itu berkata, ia menunjukkan bahawa mereka berada dalam kedudukan menguntungkan antara 5% hingga 8%, walaupun hampir dengan kos pelaburan.

 

"Buat masa ini, kami mendapati bahawa pasaran masih lemah atau neutral kepada empat pengeluar sarung tangan getah terbesar Malaysia.

 

"Kami percaya bahawa sebaik sahaja pemangkin baharu muncul dalam sektor lain, pelabur institusi mungkin memperuntukkan semula dan mengambil keuntungan daripada kedudukan berkaitan sarung tangan untuk melabur ke sektor lain," katanya.

 

Firma itu menyemak turun penarafan sektor itu kepada 'underweight' daripada 'neutral'. - DagangNews.com