AmInvestment negatif terhadap prospek keuntungan Top Glove ekoran penurunan ASP | DagangNews Skip to main content

AmInvestment negatif terhadap prospek keuntungan Top Glove ekoran penurunan ASP

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 20 Jun - AmInvestment Bank Research mengekalkan saranan 'pegang' terhadap Top Glove Corp. Bhd. dengan nilai wajar lebih rendah pada 88 sen daripada RM1.08 sesaham setelah mengambil kira penurunan harga jualan purata (ASP) sarung tangan getah. 

 

Susulan itu, ia menyemak turun anggaran keuntungan bersih Top Glove bagi tahun kewangan berakhir 31 Ogos 2022 (FY22) sebanyak 16% diikuti 18% (FY23) dan 28% (FY24) dengan ASP diunjurkan pada AS$24 per 1,000 keping bagi suku keempat FY22 berbanding AS$25 per 1,000 keping tempoh sama sebelumnya.

 

Firma itu percaya, ASP akan terus mengalami tekanan penurunan walaupun pada kadar yang perlahan. 

 

"Syarikat mengaitkan ini dengan cabaran untuk melepaskan kos operasi yang lebih tinggi kepada pelanggan, berpunca daripada tekanan inflasi yang dicetuskan oleh gangguan bekalan yang berterusan, halangan pengambilan pekerja dan kenaikan gaji minimum baru-baru ini, serta lebihan kapasiti.

 

"Ini mungkin akan diburukkan lagi oleh risiko pelepasan inventori apabila pemain yang lebih kecil keluar daripada pasaran," katanya dalam nota kajian hari ini. 

 

Untung bersih Top Glove bagi suku ketiga berakhir 31 Mei 2022 menjunam kepada RM15.29 juta daripada RM2.04 bilion bagi tempoh sama tahun sebelumnya. 

 

Ia menyaksikan pendapatan pada suku tersebut juga susut kepada RM1.46 bilion berbanding daripada RM4.16 bilion.

 

Bagi tempoh 9 bulan berakhir 31 Mei 2022, untung bersihnya juga merosot kepada RM288.56 juta daripada RM7.26 bilion manakala pendapatan susut kepada RM4.5 bilion berbanding RM14.29 bilion bagi tempoh sama tahun lalu. 

 

AmInvestment menjangkakan kumpulan akan terus mencatat kerugian sebanyak RM28 juta pada suku keempat berakhir 31 Ogos 2022 ekoran penurunan ASP, kadar penggunaan loji yang rendah, dengan ketara mengecilkan margin dan menyebabkan tahap pulang modal yang rendah.

 

Firma itu tidak menjangkakan sebarang peningkatan tempahan sarung tangan getah yang ketara pada suku keempat FY22 dan dan separuh pertama FY23 memandangkan inventori pelanggan yang tinggi pada masa ini dan pasaran yang kompetitif kerana kadar penggunaan loji berterusan sekitar 50 hingga 60%.

 

Dalam pada itu, katanya, kumpulan menangguhkan rancangan pengembangan kapasiti sejak 2 tahun lalu sejajar dengan keadaan pasaran semasa.

 

"Dengan mengambil kira tekanan ASP, kami negatif dengan prospek jangka pendek keuntungan kumpulan di sebalik kedudukan tunai yang kukuh. 

 

"Bagaimanapun, pihak pengurusan percaya permintaan untuk sarung tangan akan kekal relevan dalam dunia pasca pandemik, yang sebahagiannya akan melindungi ASP yang jatuh

 

"Ini akan disokong oleh rangkaian sarung tangan yang pelbagai dan campuran produk kumpulan, yang membolehkan penyesuaian pantas kepada permintaan pasaran yang berubah-ubah," katanya.

 

Setakat 11.48 pagi, harga saham Top Glove susut 1 sen atau 0.99% kepada RM1 dengan 17.48 juta saham diniagakan. - DagangNews.com