AmInvestment positif dengan langkah Mah Sing ambil alih tanah di Johor Bahru | DagangNews Skip to main content

AmInvestment positif dengan langkah Mah Sing ambil alih tanah di Johor Bahru

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 29 Jun - AmInvestment Bank Research menjangkakan langkah Mah Sing Group Berhad mengambil alih tanah pegangan bebas seluas 6.938 ekar (2.8 hektar) di Tebaru, Johor Bahru akan membantu mereka mengekalkan pendapatan hartanah untuk jangka sederhana.

 

Firma itu berkata, secara keseluruhannya mereka positif dengan pengambilalihan itu kerana dilihat akan membantu Mah Sing mengekalkan pendapatan mereka.

 

Katanya, pengambilalihan dengan harga RM39.3 juta (RM130 sekaki persegi) menunjukkan nisbah kos kepada nilai pembangunan kasar (GDV )sebanyak 8.4%, yang lebih rendah daripada nisbah purata kos kepada GDV tanah sebanyak 12%–15% untuk keseluruhan projeknya.

 

"Walaupun tidak banyak transaksi yang sama berlaku di kawasan itu baru-baru ini, harga yang diminta untuk tanah komersial di sekitar kawasan kejiranan dengan keluasan tanah yang sama (5.2 hingga 6.5 ekar) adalah antara RM120 sekai persegi hingga RM150 sekaki persegi.

 

"Kami melihat pengambilalihan itu adalah adil," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma itu berkata, kumpulan itu telah mengemukakan cadangan untuk menjalankan projek pembangunan bercampur dengan GDV RM469 juta.

 

Projek yang dikenali sebagai M Minori itu akan memiliki kediaman servis yang terdiri daripada satu bilik tidur, dua bilik tidur dan tiga bilik tidur yang bersaiz antara 550 kaki persegi hingga 880 kaki persegi dengan harga bermula RM260,000. 

 

"Kami bagaimanapun menaikkan unjuran keuntungan bersih teras untuk FY23F-24F antara 3% hingga 6% berdasarkan kepada sumbangan projek M Minori," katanya.

 

Firma itu mengekalkan saranan 'beli' untuk Mah Sing dengan harga wajar (FV) RM0.87 berbanding RM0.85 sesaham. - DagangNews.com