AmInvestment positif terhadap prospek kerjasama Berjaya Food, Paris Baguette | DagangNews Skip to main content

AmInvestment positif terhadap prospek kerjasama Berjaya Food, Paris Baguette

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 16 Jun - AmInvestment Bank Berhad positif terhadap prospek masa hadapan Berjaya Food terutama selepas berhasrat menjalinkan kerjasama dengan Paris Baguette.

 

Firma itu berkata, walaupun tiada sebarang perincian didedahkan mengenai potensi kerjasama itu namun ia dilihat bakal memberikan aliran pendapatan baharu kepada kumpulan.

 

"Berjaya Food boleh menggunakan kelebihan yang dimiliki dalam menguruskan rangkaian kedai dan pada masa sama menggunakan kemahiran Paris Baguette yang merupakan kedai rangkaian bakeri No.1 di Korea Selatan," katanya dalam satu nota kajian hari ini.

 

Firma itu berkata, Paris Baguette merupakan rangkaian kedai bakeri global milik SPC Group iaitu syarikat yang berpangkalan di Korea Selatan.

 

Jenama itu memiliki lebih 3,400 kedai di Korea Selatan dan lebih 440 cawangan di seluruh Amerika Syarikat (AS), China, Perancis, Vietnam, Indonesia,kemboja dan Singapura.

 

"Pada April 2021, SPC Group mengumumkan bahawa pengurusan tertingginya menjalankan perbincangan bagi menjalankan pelaburan di Malaysia termasuk membina kemudahan pengeluaran di Malaysia.

 

"Bagaimanapun tiada sebarang butiran diberikan daripada pihak pengurusan dan kami mengekalkan unjuran pendapatan bagi FY22F-24 buat masa sekarang.

 

"Pada masa sama kami mengekalkan saranan 'beli' untuk Berjaya Food dengan harga sasaran (TP) RM3.30," katanya. - DagangNews.com