AmInvestment positif terhadap prospek Sunway didorong pengembangan perniagaan penjagaan kesihatan | DagangNews Skip to main content

AmInvestment positif terhadap prospek Sunway didorong pengembangan perniagaan penjagaan kesihatan

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 25 Ogos - AmInvestment Bank Research menjangkakan prospek Sunway Berhad kekal positif didorong beberapa faktor termasuk rancangan pengembangan perniagaan penjagaan kesihatan yang akan meningkatkan kapasiti FY23 sebanyak 82%.

 

Firma penyelidikan itu berkata, ia juga didorong oleh jualan yang belum dibil sebanyak RM4.9 bilion atau 3.6x hasil pembangunan hartanah pada FY23 selain tempahan kerja tertunggak sebanyak 5.8 bilion atau 4x hasil pembinaan FY23.

 

"Keuntungan bersih bahagian penjagaan kesihan Sunway pada 1HFY23 meningkat 5% kepada RM67 juta hasil daripada penambahbaikan dalam aktiviti hospital terutamanya di Pusat Perubatan Sunway (SMC), Sunway City dan SMC Velocity.

 

"Peningkatan aktiviti itu mengurangkan kerugian operasi permulaan daripada SMC Pulau Pinang dan Sunway Sanctuary serta kos utiliti yang lebih tinggi," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Terdahulu, untung bersih kumpulan susut 7.2% kepada RM149.93 juta pada suku kedua berakhir 30 Jun 2023 (2QFY23), daripada RM161.49 juta setahun sebelumnya, berikutan sumbangan yang lebih rendah daripada pelaburan hartanah dan pendapatan operasi lain lebih daripada mengimbangi peningkatan dalam hasil.

 

Pendapatan Sunway meningkat 14.7% kepada RM1.47 bilion, daripada RM1.28 bilion pada 2QFY22, disokong oleh sumbangan yang lebih baik daripada kebanyakan segmen perniagaannya.

 

Bagi enam bulan berakhir 30 Jun 2023 (6MFY23), untung bersih turun sedikit sebanyak 2% kepada RM291.57 daripada RM298 juta dalam tempoh yang sama tahun lepas, manakala hasil meningkat lebih 14% kepada RM2.73 bilion daripada RM2.39 bilion.

 

Firma penyelidikan itu tidak membuat sebarang perubahan terhadap unjuran pendapatan kumpulan itu kerana keuntungan bersih teras 1HFY23 sebanyak RM295 juta berada dalam jangkaan mereka dan ia menyumbang 48% daripada pendapatan FY23.

 

"Kami mengekalkan saranan 'beli' dengan harga wajar (FV) RM2.40 sesaham," katanya. - DagangNews.com