AmInvestment ramal kerugian bersih Malakoff cecah RM474.2 juta pada FY23 | DagangNews Skip to main content

AmInvestment ramal kerugian bersih Malakoff cecah RM474.2 juta pada FY23

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 28 Nov - AmInvestment Bank Research mengunjurkan kerugian bersih lebih besar sebanyak RM474.2 juta bagi Malakoff Corporation Berhad pada FY23 berbanding ramalan sebanyak RM367.7 juta sebelum ini.

 

Katanya, walaupun kumpulan itu dijangka mencatatkan prestasi lebih baik pada 4QFY23 berbanding 3QFY23 tetapi firma itu bagaimanapun terlalu agresif terhadap jangkaan mereka mengenai pemulihan margin bahan api kumpulan itu.

 

Malakoff mencatatkan kerugian margin bahan api sebanyak RM972 juta dari tahun ke tahun bagi tempoh sembilan bulan berakhir 30 September 2023 (9MFY23). 

 

Bagaimanapun, kerugian margin bahan api merosot sebanyak RM263 juta pada 3QFY23 yang menyumbang kepada kerugian bersih yang lebih kecil sebanyak RM85.6 juta bagi kumpulan (kerugian bersih 2QFY23: RM318.7 juta).

 

"Margin bahan api dijangka pulih lagi dalam 4QFY23 apabila kumpulan itu mengurangkan inventori arang batu yang memiliki kos yang tinggi," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Terdahulu, kumpulan itu mencatatkan kerugian bersih RM109.42 juta pada 3QFY23 berbanding untung bersih RM66.54 juta setahun lalu disebabkan margin bahan api.

 

Syarikat itu menanggung margin bahan api negatif yang besar sebanyak RM149.4 juta dan RM33 juta bagi loji arang batu Tanjung Bin Power Sdn. Bhd. (TBP) dan Tanjung Bin Energy Sdn. Bhd. (TBE).

 

Firma penyelidikan itu berkata, margin keuntungan bersih anak syarikatnya, Alam Flora jatuh disebabkan perbelanjaan pembaikan dan penyelenggaraan yang tinggi kerana kebanyakan trak dan kenderaan syarikat itu berusia lebih daripada tujuh tahun. 

 

Katanya, Alam Flora dijangka membeli kenderaan baharu untuk menggantikan armada lama.

 

"Cadangan pengambilalihan 49% kepentingan dalam E-Idaman bernilai RM133.2 juta adalah positif.

 

"Alam Flora dan E-Idaman akan berada dalam kedudukan yang lebih kukuh untuk berunding dengan kontraktor dan mengurangkan kos melalui perkongsian sumber. Cadangan pengambilalihan itu dijangka siap pada 2QFY24," katanya.

 

AmInvestment mengekalkan saranan 'beli' dengan harga wajar (FV) 75 sen sesaham.- DagangNews.com