AmInvestment saran 'jual' saham ATA IMS, prospek sektor EMS masih bergelut dengan risiko ESG | DagangNews Skip to main content

AmInvestment saran 'jual' saham ATA IMS, prospek sektor EMS masih bergelut dengan risiko ESG

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 4 Jan - AmInvestment Bank Research berpandangan 'neutral' terhadap sektor perkhidmatan pembuatan elektronik (EMS) pada separuh pertama 2022 berikutan isu berkaitan amalan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) yang akan terus mengeruhkan prospek sektor tersebut. 

 

Dalam laporan prospeknya, firma itu berkata, sektor berkenaan menjadi tumpuan sejak beberapa minggu ini disebabkan dakwaan berhubung persekitaran kerja dan tempat tinggal yang teruk serta penggunaan buruh paksa. 

 

"Situasi ini menyaksikan ATA IMS telah hilang RM2.1 bilion dalam pasaran modal sejak 12 November lalu selepas audit yang dijalankan terhadap amalan buruh menyebabkan Dyson menamatkan kontraknya. 

 

"Ini kerana Dyson merangkumi 80% daripada hasil ATA IMS," katanya dalam laporan tersebut. 

 

Pada 25 November lalu, pembekal EMS itu mengesahkan ATA Industrial (M) Sdn Bhd (ATAIM) telah menerima notis penamatan kontrak daripada Dyson Operations Pte Ltd (Dyson Operations) dan Dyson Manufacturing Sdn Bhd (Dyson Manufacturing).

 

Notis penamatan kontrak itu membabitkan Perjanjian Pengilangan Kontrak bertarikh 15 Oktober 2020 antara Dyson Operations dan ATAIM; perjanjian bagi Bekalan Barangan dan Perkhidmatan bertarikh 1 Mac 2013 antara Dyson Manufacturing dan ATAIM dan Perjanjian Rangka Kerja bagi Bekalan Barangan (Perkakasan) bertarikh 17 Jun 2009 antara Dyson Manufacturing dan ATAIM.

 

Menurut AmInvestment, ekoran dakwaan buruh paksa ini, sektor EMS tempatan mungkin berdepan pemeriksaaan yang lebih ketat pada separuh pertama tahun ini. 

 

Katanya, syarikat dijangka mematuhi Akta Standard Minimum Perumahan dan Kemudahan Pekerja 1990 (Akta 446) yang telah menetapkan peraturan untuk mentadbir piawaian perumahan pekerja. 

 

"Dalam hal ini, VS Industry Bhd. misalnya, telah memperuntukkan RM30 juta untuk membina asrama untuk pekerja baharu dan kami percaya syarikat lain akan mengikuti jejak langkah ini, menanggung kos 'pematuhan' yang lebih tinggi berikutan kesan daripada dakwaan tersebut.

 

"Namun begitu, kami berpandangan, komitmen untuk meningkatkan kesejahteraan pekerja adalah positif kepada industri dalam tempoh jangka masa panjang," jelasnya.

 

Mengenai prospek ATA IMS, firma itu berkata, ia kekal malap walaupun terdapat usaha untuk mengurangkan kerosakan terhadap reputasinya. 

 

"Ini kerana sebarang hasil daripada cadangan penyelesaian hanya boleh dilihat dalam tempoh sederhana, tanpa jaminan ia akan memberi hasil yang positif," tambahnya. 

 

Bagaimanapun, ia positif terhadap prospek jangka panjang VS Industry, disokong kemampuannya menawarkan penyelesaian perkhidmatan pembuatan elektronik secara turnkey sebagai pemain bersepadu dan usaha mempelbagaikan pelanggan. 

 

"Malah, kami menjangkakan VS Industry mendapat manfaat daripada limpahan pesanan berikutan penamatan kontrak Dyson dengan ATA IMS. 

 

"Dengan penurunan harga saham baru-baru ini, kami percaya VS Industry menawarkan nilai yang menarik pada harga semasanya," katanya.

 

Sehubungan itu, AmInvestment memberi saranan 'beli' terhadap VS Industry dengan nilai wajar (FV) pada RM1.61 manakala ATA IMS pula dengan saranan 'jual' pada FV 30 sen. - DagangNews.com