AmInvestment semak turun penarafan sektor penjagaan kesihatan kepada 'neutral' berbanding 'overweight' | DagangNews Skip to main content

AmInvestment semak turun penarafan sektor penjagaan kesihatan kepada 'neutral' berbanding 'overweight'

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 19 Sept - AmInvestment Bank Research menyemak turun penafaran sektor penjagaan kesihatan kepada 'neutral' daripada 'overweight' kerana percaya bahawa minat pasaran terjejas disebabkan keputusan yang mengecewakan pada suku kedua tahun ini.

 

Bagi pengendali hospital, firma penyelidikan itu menjangkakan IHH Healthcare Berhad meraih pendapatan yang mendatar pada 2HFY23 memandangkan kos kewangan yang lebih tinggi pada 2QFY23 walaupun jumlah pembiayaan kekal antara RM9.3 bilion hingga RM9.4 bilion.

 

Katanya, IHH memberi petunjuk bahawa ini adalah hasil daripada semakan kadar faedah baru-baru ini seiring dengan aliran global. 

 

"Bagaimanapun, IHH akan terus menggunakan strategi pertumbuhan tiga tahun pasca pandemik (2023-2025) dengan mengembangkan kapasiti katil di seluruh Malaysia ( tambahan 600 katil daripada 2,800 pada masa ini), India (pertambahan 1,400 katil daripada 5,000), Turki dan Eropah (pertambahan 580 katil daripada 3,400), sambil meneroka peluang strategik di seluruh Asia dan Eropah," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma penyelidikan itu berkata, harga saham Duopharma merosot sejak akhir Februari 2023, serentak dengan pengumuman Pharmaniaga Berhad mengenai status PN17 mereka.

 

"Kami percaya bahawa pasaran menetapkan harga dalam risiko kredit Pharmaniaga di samping keputusan 2QFY23 yang mengecewakan, memandangkan kumpulan itu menyumbang 23% hingga 27% daripada jualan Duopharma pada FY22.

 

"Berdasarkan semakan terkini dengan pihak pengurusan, kami memahami bahawa Pharmaniaga telah memenuhi semua kewajipan buat masa ini. Selain itu, Duopharma telah meningkatkan kekerapan kutipan sejak Mei sebagai langkah pengurusan risiko kredit," katanya.

 

AmInvestment berkata, bagi segmen farmaseutikal, Duopharma Biotech Berhad diunjur mencatatkan keputusan lebih lemah pada 2HFY23 berbanding 1HFY23 kesan peralihan sementara proses perolehan Kementerian Kesihatan (KKM) daripada senarai pembelian produk yang diluluskan (APPL).

 

Bagi Apex Healthcare Berhad, pengurusan mematuhi panduan yang dibentangkan pada taklimat keputusan pada Februari 2023 dan seterusnya, menyatakan bahawa permintaan untuk produk farmaseutikal mereka dalam 2HFY23 akan menjadi lebih lemah berbanding 1HFY23.

 

"Bagaimanapun, Duopharma (beli, FV: RM1.69 sesaham) kekal sebagai pilihan utama kami dalam sektor itu," katanya. - DagangNews.com