KUALA LUMPUR 30 Nov - AmInvestment Bank Research menyemak turun penarafan Media Prima Bhd. kepada 'pegang' daripada 'beli' dengan nilai wajar lebih rendah pada 48 sen daripada 61 sen sesaham sebelum ini.
Ini berikutan prestasi kewangan kumpulan media bersepadu itu tersasar daripada jangkaannya dengan merekodkan keuntungan bersih teras bagi tempoh sembilan bulan berakhir 30 September 2022 sebanyak RM22 juta.
Ia hanya merangkumi 36% daripada anggarannya dan 42% konsensus bagi tahun kewangan penuh berakhir 31 Disember 2022 (FY22).
"Perbezaan ini disebabkan kerugian yang lebih luas daripada jangkaan dalam segmen beli-belah di rumah, Wow Shop, apabila pengguna kembali kepada aktiviti membeli-belah secara fizikal.
"Oleh itu, kami mengurangkan anggaran pendapatan kami untuk FY22 sebanyak 11%, manakala FY23 sebanyak 7% dan FY24 pula 3%," katanya dalam nota kajian hari ini.
Baca : Media Prima catat pendapatan RM745.2 juta bagi tempoh sembilan bulan
Untung bersih Media Prima Bhd. susut kepada RM7.16 juta bagi suku berakhir 30 September 2022 berbanding RM7.63 juta yang direkodkan bagi tempoh sama tahun sebelumnya dengan pendapatan lebih rendah pada RM237.16 juta daripada RM257.31 juta.
Bagi tempoh kumulatif sembilan bulan, pendapatannya susut kepada kepada RM745.2 juta daripada RM804.29 juta manakala keuntungan bersih meningkat kepada RM29 juta daripada RM26.29 juta, menurutnya dalam makluman di Bursa Malaysia hari ini.
Hasil pengiklanan kumpulan kekal stabil dengan peningkatan sebanyak 7% berbanding tempoh sebelumnya yang dipacu oleh anak syarikat penyelesaian pemasaran, Media Prima Omnia.
Menurut AmInvestment, keuntungan bersih teras kumpulan susut 4% tahun ke tahun bagi tempoh sembilan bulan disebabkan hasil yang lebih rendah daripada segmen beli-belah susut sehingga 46% tahun ke tahun manakala edaran surat khabar/bercetak susut 28% tahun ke tahun.
Namun, katanya, ia diimbangi dengan kenaikan jualan kandungan sebanyak 58% tahun ke tahun dan hasil pengiklanan yang lebih tinggi, meningkat 7% tahun ke tahun.
"Di sebalik keputusan suku ketiga yang lemah, kami menjangkakan Media Prima akan menunjukkan prestasi yang lebih baik pada suku keempat disokong oleh penggunaan peruntukan pemasaran yang lebih tinggi pada akhir tahun oleh pengiklan dan juga kempen sempena musim perayaan," jelasnya.
Setakat 10.11 pagi ini, harga sahamnya kekal tidak berubah pada 45 sen dengan 50,000 saham diniagakan. -DagangNews.com