AmInvestment unjur KDNK negara berkembang 4.5% pada tahun ini didorong peningkatan permintaan domestik | DagangNews Skip to main content

AmInvestment unjur KDNK negara berkembang 4.5% pada tahun ini didorong peningkatan permintaan domestik

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 15 Mei - AmInvestment Bank Research (AmInvestment) mengunjurkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) berkembang pada paras 4.5% pada tahun ini didorong faktor ekonomi termasuk peningkatan pasaran tenaga kerja, realisasi pelaburan, dan penambahbaikan dalam sektor pembinaan dan pertanian.

 

Firma itu menjangkakan permintaan domestik terus menjadi pemacu utama manakala pertumbuhan gaji dalam sektor perkhidmatan, yang menggaji sekitar 62% daripada keseluruhan pasaran buruh, mungkin memuncak.

 

Katanya, walaupun aktiviti pekerjaan semakin menurun, masih terdapat ruang untuk pasaran buruh bertambah baik kerana jumlah kekosongan dalam pasaran buruh masih berada pada sekitar 3.6 kali lebih tinggi daripada tahap pra-pandemik. 

 

"Ini menunjukkan bahawa perbelanjaan swasta mungkin telah memuncak tetapi masih mempunyai ruang untuk lebih penambahbaikan.

 

"Pelancongan dan sektor berkaitannya juga mempunyai ruang untuk penambahbaikan selanjutnya. 

 

"Seperti yang dicadangkan oleh data, jumlah aliran masuk pelancong antarabangsa kini adalah 70% daripada tahap pra-pandemik dan pada kadar ini (berdasarkan anggaran konservatif), jumlah aliran masuk mungkin kembali ke tahap pra-pandemik menjelang akhir 2024," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Bagaimanapun, firma itu berkata, eksport dijangka lebih perlahan kerana Indeks Pengurusan Pembelian (PMI) pembuatan terkini setakat April 2023 masih di bawah paras penguncupan, mengekalkan momentum lemah yang diperhatikan sejak September 2022.

 

Prospek global kekal malap kerana ekonomi global berhadapan dengan kesan daripada kenaikan kadar faedah yang tinggi terutamanya dalam kalangan bank pusat global.

 

Firma itu berkata, sektor pertanian, bagaimanapun, berkembang sebanyak 0.9%, pertumbuhan yang lebih perlahan disebabkan oleh pengeluaran kelapa sawit yang lebih perlahan yang hanya meningkat sebanyak 3.4% pada suku pertama 2023.

 

"Kelapa sawit menyumbang sekitar 43.7% kepada sektor ini. Dengan lebih ramai pekerja asing kembali ke negara ini, pengeluaran dijangka bertambah baik pada pertengahan tahun ini.

 

"Bagaimanapun, tinjauan keseluruhan bergantung kepada cuaca, kerana El Nino, yang mempunyai kebarangkalian tinggi untuk berlaku berdasarkan ramalan semasa, boleh menyebabkan pengeluaran menjadi lebih rendah daripada jangkaan," katanya. - DagangNews.com