AmInvestment unjur pemulihan berperingkat bagi urus niaga hartanah didorong sentimen pasaran lebih baik | DagangNews Skip to main content

AmInvestment unjur pemulihan berperingkat bagi urus niaga hartanah didorong sentimen pasaran lebih baik

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 5 Dis - AmInvestment Bank Research mengunjurkan pemulihan secara berperingkat dalam jumlah urus niaga hartanah kesan didorong sentimen pasaran lebih baik selain permintaan lebih kukuh.

 

Katanya, keadaan itu turut dibantu anggaran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) 2024 sebanyak 4.5% dan prospek pekerjaan yang lebih kukuh.

 

"Aktiviti urus niaga untuk hartanah kediaman dijangka menyaksikan peningkatan selaras dengan usaha kerajaan menambah lebih banyak rumah mampu milik seperti yang digariskan di bawah Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 dan skim Kejiranan Madani.

 

"Di samping itu, pelaksanaan Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) yang direka bagi meningkatkan pelaburan ke dalam negara, dijangka meningkatkan permintaan bagi hartanah perindustrian," katanya dalam satu nota kajian.

 

Firma penyelidikan itu berkata, dalam tempoh sembilan bulan tahun ini, jualan kebanyakan pemaju hartanah kecuali Sime Darby Property Berhad menunjukkan peningkatan ketara, dengan purata pertumbuhan sebanyak 31%.

 

Katanya, ia disokong pelancaran yang lebih tinggi pada tahun ini dan bagi tempoh sembilan bulan 2023, kebanyakan pemaju mencapai antara 76% hingga 120% sasaran jualan bagi FY23 berbanding 49% hingga 106% bagi tempoh sama tahun lalu.

 

"Bagaimanapun, Sime Darby Property melaporkan penurunan 9% dalam jualan 9MFY23 disebabkan oleh jualan yang lebih rendah untuk projeknya yang telah pun dilancarkan manakala pelancaran baharu kumpulan itu yang lebih rendah pada FY22 pada RM2.6 bilion berbanding RM3.7 bilion pada FY21.

 

"Sementara itu, UEM Sunrise berjaya melepasi sasaran jualan FY23 sebanyak 20% didorong pengiktirafan jualan projek Collingwood bernilai RM874 juta di Australia.

 

"Kebanyakan pemaju hartanah yakin dapat memenuhi sasaran jualan FY23F mereka, disokong oleh pelancaran baharu pada suku keempat 2023," katanya.

 

AmInvestment mengekalkan saranan 'overweight' bagi sektor hartanah tetapi mengakui sektor itu berdepan beberapa risiko seperti stagflasi yang boleh membawa kepada pengangguran yang lebih tinggi di samping inflasi yang menimbulkan risiko penurunan permintaan hartanah.

 

Katanya, peningkatan ketegangan geopolitik boleh mengganggu perdagangan global dan rantaian bekalan, yang akan memberi kesan kepada kadar pemulihan ekonomi dan meningkatkan kos bahan binaan.- DagangNews.com