AmInvestment unjur pendapatan MR D.I.Y. lebih baik pada suku tahun akan datang | DagangNews Skip to main content

AmInvestment unjur pendapatan MR D.I.Y. lebih baik pada suku tahun akan datang

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 7 Julai - AmInvestment Bank Research mengunjurkan pendapatan MR D.I.Y. Group (M) Berhad akan menjadi lebih baik berbanding sebelum ini terutama selepas kes COVID-19 varian Omicron semakin mencatatkan penurunan.

 

Firma itu berkata, margin keuntungan aksar kumpulan itu juga dijangka meningkat terutama selepas berakhirnya kempen 'Price Lock' mereka.

 

Hasil dan pendapatan kumpulan diunjurkan bertambah baik pada suku akan datang dengan baki suku 2QFY22– 4QFY22 dijangka menyumbang 77% daripada hasil FY22F dan 79% daripada keuntungan bersih.

 

Pada penghujung 1QFY22, inventori MR D.I.Y bagi setiap cawangan berada pada tahap yang stabil iaitu RM0.85 juta berbanding purata RM0.88 juta sepanjang enam suku yang lalu.

 

"Pada pandangan kami kebimbangan terhadap kekurangan inventori akibat gangguan rantaian bekalan adalah tidak relevan.

 

"Trend jualan kumpulan itu menunjukkan bahawa tidak ada perubahan ketara dari segi corak perbelanjaan pengguna yang boleh membawa perubahan dalam komposisi inventori mereka," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma itu berkata, pembukaan MR D.I.Y Plus akan mengukuhkan kedudukan jenama mereka dan meluaskan capaian pasaran dan pembukaan cawangan pertama mereka berjaya merekodkan lebih 100,000 transaksi pada bulan pertama operasi.

 

Katanya, kumpulan itu menyasarkan pembukaan 10 cawangan yang sama dalam tempoh dua hingga tiga tahun di kawasan dengan pengunjung yang tinggi.

 

"Kami menggemari syarikat yang memiliki skala ekonomi yang kuat yang disokong oleh 900 rangkaian cawangan.

 

"Ia memberikan MR D.I.Y kuasa penawaran yang kukuh kepada pembekal sambil memberikan nilai yang hebat kepada pelanggan.

 

"Berada di kedudukan tinggi dalam senarai perbelanjaan pengguna, permintaan untuk keperluan isi rumah dijangka kurang terjejas kesan daripada inflasi," katanya.

 

Firma itu mengekalkan saranan 'beli' dengan harga wajar (FV) yang lebih rendah RM2.60 berbanding RM2.73. - DagangNews.com