AmInvestment unjur pengeluaran buah tandan segar Hap Seng Plantations mendatar pada FY22 | DagangNews Skip to main content

AmInvestment unjur pengeluaran buah tandan segar Hap Seng Plantations mendatar pada FY22

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 8 Nov - Pengeluaran buah tandan segar Hap Seng Plantations Holdings Bhd. dijangka mendatar bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022 (FY22) berikutan hasilnya yang menurun pada suku kedua. 

 

Menurut AmInvestment Bank Research, sambutan Hari Raya pada Mei lalu telah menjejaskan penuaian buah pada tempoh berkenaan setelah mencatatkan hasil memberangsangkan pada suku pertama. 

 

Namun, setakat ini, katanya, kumpulan tidak berdepan dengan masalah cuaca kerana kebanyakan ladangnya terletak di Sabah. 

 

"Tetapi, kami berpendapat kos keseluruhan pengeluaran akan meningkat kepada RM2,200 satu tan metrik pada FY22 daripada RM1,844 satu tan metrik pada FY21 memandangkan kos baja meningkat dua kali ganda. 

 

"Pada masa sama, kumpulan kini sedang memuktamadkan tender baja untuk separuh pertama FY23," katanya dalam nota kajian hari ini.

 

Secara keseluruhan, AmInvestment mengekalkan saranan 'pegang' terhadap Hap Seng Plantations dengan nilai wajar tidak berubah pada RM2.20 sesaham.

 

Tidak seperti syarikat perladangan lain, kumpulan tidak berdepan masalah kekurangan buruh yang ketara kerana ia hanya menyumbang 6% pada separuh pertama FY22. 

 

Firma itu mendapati Hap Seng Plantations telah berjaya mengekalkan sebahagian besar tenaga kerjanya dan pada masa sama, menarik pekerja baharu dari estet lain untuk menggantikan pekerja yang telah pulang ke tanah air.

 

"Pekerja ladangnya juga tinggal di rumah bata dengan infrastruktur di kebanyakan ladang kelapa sawit yang selesa dengan jalan berturap. 

 

"Selain itu, pekerja boleh menghabiskan masa lapang mereka di kompleks sukan dan rumah kelab yang telah dibina oleh syarikat," katanya.

 

Baru-baru ini, AmInvestment berkata, RSPO telah melengkapkan audit terhadap operasi ladang sawit Hap Seng Plantations tanpa sebarang isu utama, sekali gus membolehkannya menikmati harga jualan yang premium.

 

"Pada separuh pertama 2022, harga minyak sawit mentah kumpulan yang direalisasikan sebanyak RM6,378 satu tan metrik, adalah 3% lebih tinggi daripada harga purata Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) Sabah pada RM6,169 satu tan metrik," jelasnya.

 

Pada masa sama, firma itu turut menjangkakan Hap Seng Plantations akan menanam semula kira-kira 830 hektar pokok kelapa sawit yang sudah tua pada FY22 dengan purata umur pada 16.5 tahun.

 

"Kami menganggarkan kos tanaman semula ini akan mencecah sekitar RM15,000 hingga RM18,000 per hektar," katanya. - DagangNews.com