KUALA LUMPUR 4 Mac - AmInvestment Bank Berhad menjangkakan pendapatan bahagian filem dan pengedaran PPB Group bertambah baik pada FY2022 dengan peningkatan kehadiran pengunjung ke pawagam selepas prosedur operasi standard (SOP) dilonggarkan.
Katanya, pawagam di seluruh negara kini dibenarkan beroperasi dengan kapasiti tempat duduk 80% hingga ke 90% berbanding 50% sebelum ini.
Firma penyelidikan itu berkata, syarikat penerbitan filem dijangka mengeluarkan lima filem baharu DC Universe serta Marvel Cinematic Universe pada FY2022F dan ia akan menarik kehadiran pengunjung.
"Bahagian filem dan pengedaran dijangka membuka pawagam baharu di empat lokasi pada FY2022 termasuk 12 skrin di Bukit Bintang City Centre dan lapan skrin di Sunway Iskandar, Johor.
"Kami mengunjurkan keuntungan sebelum bahagian itu meningkat kepada RM52.4 juta pada FY2022F berbanding kerugian sebelum cukai RM105.3 juta pada FY2021," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.
Firma penyelidikan itu juga menjangkakan berlaku peningkatan dari segi harga jualan tepung untuk kumpulan itu secara berperingkat pada FY2022F akibat tekanan kenaikan harga bahan mentah.
Katanya, bahan mentah seperti gandum datang dari Amerika Syarikat (AS), Kanada serta Australia dan ia menyumbang kepada hampir 90% kos pembuatan tepung kumpulan itu.
"Buat masa sekarang kumpulan itu sudah menaikkan harga jualan tepung sebanyak 10% dan harga siling untuk jualan tepung serbaguna di Malaysia ditetapkan pada harga RM1.35 sekilogram.
"Kami menjangkakan bahagian perniagaan tani kumpulan itu meraih keuntungan sebelum cukai sebanyak RM38.7 juta berbanding kerugian sebelum cukai RM21.3 juta pada FY2021," katanya.
Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan 'beli' untuk saham PPB Group pada harga sasaran RM21.85 sesaham. - DagangNews.com