AmInvestment unjur pertumbuhan pendapatan jangka sederhana Perak Transit mampan, disokong kemajuan segmen IPTT | DagangNews Skip to main content

AmInvestment unjur pertumbuhan pendapatan jangka sederhana Perak Transit mampan, disokong kemajuan segmen IPTT

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 23 Mei - AmInvestment Bank Research mengunjurkan pertumbuhan berterusan bagi pendapatan Perak Transit Berhad untuk jangka sederhana disokong oleh pertumbuhan mampan dalam segmen terminal pengangkutan awam bersepadu (IPTT).

 

Firma itu berkata, pertumbuhan itu akan berlaku secara beransur-ansur dalam era pasca pandemik dan ditambah dengan peningkatan dalam kadar penghunian Kampar Putra Sentral dengan sasaran 70% pada tahun-tahun akan datang berbanding 50% ketika ini.

 

"Selain itu sumbangan pendapatan sulung daripada Bidor Sentral bermula 2HFY23 dan seterusnya akan memberikan momentum selajutnya kepada trajektori pertumbuhan kumpulan," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Terdahulu, hasil 1QFY23 meningkat sebanyak 17% kepada RM47 juta didorong sumbangan lebih tinggi daripada segmen IPTT di tengah-tengah sumbangan yuran kemudahan projek dan perkongsian hasil daripada penyewa logistik yang lebih tinggi.

 

Bagaimanapun keuntungan teras 1QFY23 meningkat dengan lebih kecil sebanyak 6% dari tahun ke tahun kerana jualan yang lebih tinggi sebahagiannya diseret oleh perbelanjaan operasi, kos kewangan dan perbelanjaan cukai yang lebih tinggi.

 

Firma itu berkata, bahagian pembinaan menara telekomunikasi mencatatkan hasil yang agak tidak memberangsangkan sebanyak RM300,000 (+56% dari suku tahun ke suku tahun).

 

"Walaupun sumbangan hasil tidak begitu memberangsangkan daripada bahagian itu pada masa ini, kami percaya pendapatan segmen akan meningkat secara beransur-ansur pada suku akan datang apabila kumpulan itu meningkatkan kemajuan pembinaan menara baharu," katanya.

 

Firma itu mengekalkan saranan 'beli' dengan harga wajar (FV) RM1.54 sesaham. - DagangNews.com