AmInvestment yakin Kimlun terima manfaat pembinaan projek MRT3 | DagangNews Skip to main content

AmInvestment yakin Kimlun terima manfaat pembinaan projek MRT3

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 2 Jun - AmInvestment Bank Research yakin Kimlun Corporation Berhad akan dapat memanfaatkan pembinaan MRT3 dengan subkontrak dijangka diberikan pada akhir tahun ini.

 

Firma itu berkata,  pada 2012 dan 2016, kumpulan itu meraih kontrak bekalan yang besar sebanyak RM524 juta melibatkan segmen lapisan terowong dan segmen galang kotak untuk MRT1 dan MRT2.

 

Terdahulu kumpulan itu meraih kontrak bernilai RM237.63 juta daripada Bayu Melati Sdn. Bhd. melibatkan kerja-kerja pembinaan bangunan utama dua blok apartmen servis di Selangor.

 

"Kami tidak membuat sebarang perubahan kepada unjuran pendapatan FY23-FY25 kerana kontrak terbaharu itu adalah sebahagian daripada penambahan semula kerja sebanyak RM680 juta.

 

"Antara potensi projek yang akan diraih kumpulan itu termasuk Lebuhraya Pan Borneo, Sistem Transit Rapid Johor-Singapura, kerja-kerja menaik taraf jalan di Johor dan projek rumah mampu milik," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Sebelum itu, kumpulan itu meraih kontrak bernilai RM94.5 juta daripada Horizon Hills Development Sdn. Bhd. untuk kerja-kerja bangunan utama bagi 78 unit pejabat kedai dan pusat beli-belah dengan kemudahan di Mukim Pulai, Johor.

 

Projek itu dijangka siap menjelang suku kedua 2025. 

 

Firma itu berkata, kumpulan itu bagaimanapun berdepan beberapan risiko termasuk pemulihan aliran kerja yang lebih perlahan berbanding jangkaan dan kenaikan kos yang akan menjejaskan margin keuntungan serta kegagalan meriah projek mega.

 

Firma itu mengekalkan saranan 'beli' dengan harga wajar (FV) RM1.17 sesaham. - DagangNews.com