Amron Omar pamer lakaran gerakan silat atas helaian tisu di Segaris Art Center sehingga 30 Julai | DagangNews Skip to main content

Amron Omar pamer lakaran gerakan silat atas helaian tisu di Segaris Art Center sehingga 30 Julai

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 20 Julai - Segaris Art Center sedang menganjurkan pameran seni solo Amron Omar yang memaparkan gerakan seni Silat di atas helaian tisu di Publika Shopping Gallery dari 5 Julai hingga 30 Julai 2023.

 

Karya seni bertajuk ‘Biar Budi Hanya Setitik, Langit Dan Bumi Ada Di Dalam’ ini bermula dari lakaran di atas helaian tisu di kedai kopi menjadi sandaran Amron dalam pameran solonya di Segaris pada kali ini.

 

 

Amron Omar berucap semasa majlis perasmian pameran seni solonya, ‘Biar Budi Hanya Setitik, Langit Dan Bumi Ada Di Dalam’
Amron Omar berucap semasa majlis perasmian pameran seni solonya, ‘Biar Budi Hanya Setitik, Langit Dan Bumi Ada Di Dalam’  

 

 

Sejumlah 81 lakaran bertemakan gerakan seni Silat, di mana beliau pelajari daripada abang kandungnya yang diturunkan oleh bapa mereka, diangkat dan dilakar dengan penuh berhati-hati kerana tekstur bahan tisu yang lembut dan rapuh tetapi tahan lama.

 

Setiap lakaran yang dipamerkan ini telah disimpan dengan baik oleh beliau sejak tahun 2006 sehingga 2018 untuk dipamerkan kepada orang ramai di sini sehingga hujung bulan ini.

 

 

Amron Omar memberi penerangan mengenai hasil kerjanya kepada Duta Azerbaijan ke Malaysia, Irfan Davudov.
Amron Omar memberi penerangan mengenai hasil kerjanya kepada Duta Azerbaijan ke Malaysia, Irfan Davudov.

 

 

Amron Omar adalah figura artis Malaysia yang tidak asing lagi sejak 30 tahun lalu.

 

Beliau telah berjaya mengadakan pelbagai pameran antarabangsa seperti The Contemporary Asian Art Show di Jakarta (1981), dan Contemporary Paintings of Malaysia di Los Angeles, California (1988).

 

Pada tahun 2012, beliau telah menganjurkan sebuah pameran solo besar-besaran di Galeri Seni Negara dengan mempamerkan 150 karya.

 

 

 (Dari kiri) Pengurus Besar, UiTM Art and Design Sdn Bhd, Afidatul Aisyah Ahmad; Artis, Amron Omar, Ketua Pegawai Investment Ekuinas, Aliff Omar Mohamad Omar dan Duta Azerbaijan ke Malaysia, Irfan Davudov.
(Dari kiri) Pengurus Besar, UiTM Art and Design Sdn Bhd, Afidatul Aisyah Ahmad; Artis, Amron Omar, Ketua Pegawai Investment Ekuinas, Aliff Omar Mohamad Omar dan Duta Azerbaijan ke Malaysia, Irfan Davudov.

 

 

“Keunikan dan keaslian karya daripada Amron telah terpilih untuk dipamerkan di Segaris sepanjang bulan ini. Ilham boleh datang dalam pelbagai bentuk dan kami menghargai setiap karya yang dipersembahkan dan sentiasa memberi sokongan kepada setiap hasil seni yang dibawa oleh semua penggiat seni tempatan, sama ada baharu mahupun lama,” kata Ketua Pegawai Operasi UHSB, Dr. Ainul Azreen Adam.

 

Pameran solo ini telah dirasmikan oleh Duta Azerbaijan ke Malaysia, Irfan Davudov  bersama Ketua Pegawai Pelaburan, Ekuiti Nasional Berhad (Ekuinas), Aliff Omar Mohamad Omar.

 

Maklumat lanjut boleh didapati di platform Instragram Segaris Art Center @segarisartcenterofficial - DagangNews.com