Anak syarikat Jiankun disaman RM14.2 juta oleh rakan usahasama projek bina apartmen servis di Puchong | DagangNews Skip to main content

Anak syarikat Jiankun disaman RM14.2 juta oleh rakan usahasama projek bina apartmen servis di Puchong

oleh JOHARDY IBRAHIM

KUALA LUMPUR 2 Feb - Anak syarikat milik penuh Jiankun International Berhad, JKI Development Sdn Bhd (JKID) disaman RM14.2 juta yang didakwa anggaran baki tertunggak dituntut oleh rakan usahasama Fivestar Development (Puchong) bagi projek membina apartmen servis 32 tingkat.

 

Menurut makluman di Bursa Malaysia, tuntutan tersebut adalah terhasil daripada Perjanjian Pembangunan Usahasama bertarikh 28 Julai 2015, Perjanjian Pembangunan Usahasama Tambahan bertarikh 5 Oktober 2016 dan Perjanjian Pembangunan Usahasama Tambahan bertarikh 14 November 2016,  bermula dari 13 September 2022 sehingga pembayaran penuh dan kos dengan kadar faedah 5% setahun..

 

Perjanjian usahasama antara JKIA dan Fivestar itu adalah bagi membina menara servis apartmen 32 tingkat di Taman Puchong Hartamas Puchong, yang mana projek itu sudah siap dan diserahkan kepada pembeli pada Februari 2022.

 

"Tuntutan oleh Fivestar untuk dakwaan jumlah tertunggak sebanyak RM14,214,288.48 sebagai anggaran baki kelayakan pemilik tanah adalah perkara yang belum disimpulkan antara Fivestar dan JKID.

 

"Syarikat sedang mendapatkan nasihat undang-undang yang diperlukan untuk perkara di atas," kata Jiankun.

 

Tuntutan Fivestar ini tidak akan menjejaskan kedudukan kewangan Kumpulan dengan ketara kerana jumlah RM12,941,343.32 telah diperuntukkan dalam akaun.

 

Sekiranya Mahkamah membuat keputusan memihak kepada Fivestar dan memberikan Penghakiman kepada mereka atas jumlah yang dituntut sebanyak RM14,214,288.48, impak tambahan sebanyak RM1,272,945.16, faedah dan kos kepada prestasi Kumpulan tidak akan menjejaskan operasi JKID dan Kumpulan. - DagangNews.com