Anak syarikat Vestland beli pejabat, gudang bernilai RM25 juta | DagangNews Skip to main content

Anak syarikat Vestland beli pejabat, gudang bernilai RM25 juta

Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 16 Julai - Vestland Resources Sdn. Bhd. (VRSB), anak syarikat sepenuhnya Vestland Berhad membeli 10 buah bangunan pejabat dan enam unit gudang yang keseluruhannya bernilai RM24.99 juta.

 

Dalam pemakluman kepada Bursa Malaysia, Vestland berkata, 10 unit pejabat itu terletak di Subplace Boulevard, Pusat Komersial Vestland, Seksyen U1, Shah Alam, Selangor, Malaysia.

 

Katanya, VRSB telah memasuki perjanjian jual beli (SPA) dengan Sg. Besi Construction Sdn. Bhd (SBC) pada 16 Julai 2024 melibatkan kos RM6.985 juta.

 

"Enam buah kilang/gudang yang dibeli VRSB pula terletak di Armani Business Park, Kampung Malawa, Kota Kinabalu dengan jumlah pertimbangan tunai sebanyak RM18 juta," katanya hari ini.

 

Menurut Vestland, VRSB memasuki SPA dengan Armani KPF2 Development Sdn. Bhd. pada 16 Julai 2024.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Vestland raih kontrak kerja tanah bernilai RM195 juta di Lebuhraya Kota Bharu-Kuala Krai

 

"Pembelian pejabat akan dibiayai melalui dana yang dijana secara dalaman manakala pembelian gudang akan didanai melalui gabungan dana yang dijana secara dalaman dan pinjaman bank," ujarnya.

 

Tambah Vestland, pembelian pejabat yang dicadangkan itu akan memberikan penjimatan sewa kepada Kumpulan kira-kira RM250,000 setahun. 

 

Selain itu, katanya, unit-unit tambahan yang akan dibeli di ibu pejabat akan membolehkan Kumpulan untuk memperluas tenaga kerjanya dan memudahkan pertumbuhan perniagaannya pada masa akan datang.

 

"Sebagai sebahagian daripada rancangan Kumpulan untuk memperluas perniagaannya di Malaysia Timur, Kumpulan bercadang untuk menubuhkan cawangan baru di Sabah dengan ruang pejabat dan storan yang akan memudahkan Kumpulan mengawasi projek pembinaan di Sabah, melalui pembelian gudang cadangan. 

 

"Selain itu, memandangkan lokasi strategik gudang berserta kemudahan-kemudahan di sekitarnya, Kumpulan menjangkakan bahawa pembelian gudang yang dicadangkan ini akan memberi sumbangan positif kepada pengembangan perniagaannya di Malaysia Timur pada masa hadapan," jelasnya. - DagangNews.com