Pendapatan teras SD Guthrie pada FY24 diramal berkembang 47% didorong peningkatan pengeluaran buah tandan segar -Apex Securities | DagangNews Skip to main content

Pendapatan teras SD Guthrie pada FY24 diramal berkembang 47% didorong peningkatan pengeluaran buah tandan segar -Apex Securities

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 18 Okt - Pendapatan teras SD Guthrie Bhd diramal berkembang 46.9% pada FY24, diikuti peningkatan 8.9% pada FY25 dan 12.2% pada FY26, berikutan pemulihan pengeluaran buah tandan segar (BTS), dan minyak sawit mentah (MSM), kata Apex Securities.

 

“Ini akan diterajui oleh pemulihan dalam pengeluaran BTS, harga MSM yang kukuh yang kekal stabil pada RM4,000 setiap tan sepanjang tahun dan pengembangan kapasiti daripada kilang penapisan Indonesia,” katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Selain itu, program penanaman semula berterusan kumpulan menggunakan benih "GenomeSelect" yang dijangka meningkatkan hasil, terutamanya di ladangnya di Indonesia dan Papua New Guinea.

 

“Sehingga kini, kumpulan itu telah menanam semula 80% tanaman baharu, dan pihak pengurusan menjangkakan peningkatan beransur-ansur dalam hasil minyak,” katanya.

 

Sementara itu, operasi hilirannya oleh Sime Darby Oils juga semakin berkembang, dengan kilang penapisan dengan kapasiti 450,000 tan baharu di Sumatera akan mula beroperasi pada FY25.

 

Walaupun begitu, Apex Securities telah mengekalkan saranan 'pegang' dengan harga sasaran (TP) sebanyak RM4.50, sambil menambah bahawa walaupun peralihan SDG kepada tenaga boleh diperbaharui (RE) dan bank tanahnya yang luas menawarkan potensi pertumbuhan, sebahagian besar daripadanya sudah tercermin dalam penilaian.

 

Usaha lain termasuk pengembangan kumpulan itu ke dalam pembangunan taman perindustrian, termasuk Taman Perindustrian Hijau Bersepadu Kerian (KIGIP) di Perak.

 

Di bawah perjanjian ini, SDG akan memiliki dan mengendalikan ladang solar sebagai sumber tenaga hijau utama untuk kawasan itu, meliputi 404.6 hektar dalam KIGIP.

 

Sementara itu, SDG dijangka mendapat keuntungan daripada pengembangan strategiknya kepada tenaga boleh diperbaharui (RE), yang bertujuan menyediakan aliran pendapatan berulang yang lebih mampan, kata Apex Securities.

 

Firma penyelidikan itu berkata, pelaburan kumpulan itu dalam projek solar, biogas dan biojisim sudah dijalankan, dengan SDG mengendalikan 16 loji biogas dan memajak tanah untuk ladang solar dengan kapasiti 633 megawatt (MW).

 

Di samping itu, pengeluar minyak sawit terbesar dunia mengikut keluasan menyatakan bahawa ia juga sedang beralih daripada penyedia tanah kepada pemaju ladang solar, setelah memperoleh projek 15MW di bawah Program Kuasa Hijau Korporat (CGPP). - DagangNews.com