Dagangan Malaysia pada September 2024 naik 4.7% kepada RM234.8 bilion didorong pertumbuhan import 10.9% | DagangNews Skip to main content

Dagangan Malaysia pada September 2024 naik 4.7% kepada RM234.8 bilion didorong pertumbuhan import 10.9%

Oleh SYAZA NORAZHARUDDIN

KUALA LUMPUR 18 Okt - Jumlah dagangan Malaysia pada September 2024 menunjukkan peningkatan 4.7% daripada RM224.3 bilion pada tahun sebelumnya kepada RM234.8 bilion, mencerminkan pengukuhan ekonomi negara. 

 

Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), prestasi ini didorong terutamanya oleh pertumbuhan import 10.9%, mencecah RM110.8 bilion. 

 

Sebaliknya, eksport turun secara marginal 0.3% atau RM319.5 juta dan imbangan dagangan turun 45.9% kepada RM13.2 bilion pada September 2024.

 

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin menjelaskan prestasi eksport Malaysia menurun pada September 2024. 

 

Beliau berkata, 80.9% daripada jumlah eksport domestik meningkat 3.8% berbanding September 2023, bernilai RM100.4 bilion manakala eksport semula, iaitu 19.1% daripada jumlah eksport, merosot 14.4% kepada RM23.6 bilion. 

 

"Sementara itu, import bernilai RM110.8 bilion, meningkat 10.9%, manakala lebihan dagangan menurun 45.9% kepada RM13.2 bilion.

 

"Berbanding Ogos 2024, eksport, import dan jumlah dagangan masing-masing mencatatkan penurunan 3.9%, 10.3% dan 7.0%, sebaliknya, imbangan dagangan mencatatkan peningkatan 139.2%," katanya dalam satu kenyataan hari ini. 

 

Melihat dari sudut kumpulan barangan pula, 145 daripada 259 kumpulan eksport menunjukkan penurunan, manakala 126 daripada 258 kumpulan import menunjukkan peningkatan berbanding bulan yang sama pada tahun sebelumnya.

 

DOSM Sept

 

Mohd Uzir  turut menekankan eksport yang lebih rendah disumbangkan terutamanya ke Viet Nam (-RM1.4 bilion), diikuti oleh Jepun (-RM895.1 juta), India (-RM482.3 juta), China (-RM475.3 juta), Brunei (-RM411.4 juta), New Zealand (-RM352.9 juta) dan Bangladesh (-RM349.9 juta). 

 

Katanya, import yang lebih tinggi pula disumbangkan dari Mexico (+RM3.8 bilion), diikuti oleh Amerika Syarikat (+RM3.3 bilion), Taiwan (+RM1.5 bilion), Singapura (+RM1.1 bilion), Qatar (+RM874.6 juta), Indonesia (+RM714.3 juta) dan Arab Saudi (+RM701.6 juta).

 

Selanjutnya, beliau juga memaklumkan pertambahan import mengikut penggunaan akhir adalah seiring dengan permintaan yang lebih tinggi bagi barangan perantaraan, barangan modal dan barangan penggunaan. 

 

 

Ketua DOSM
Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin

 

"Jumlah dagangan meningkat 10.2%, daripada RM1.9 trilion kepada RM2.1 trilion, sejajar dengan peningkatan dalam eksport (+5.2%) serta import (+16.1%). 

 

"Sebaliknya, lebihan dagangan berkurang 48.8% berbanding tempoh yang sama pada 2023 mencatatkan nilai RM91.2 bilion.

 

"Prestasi bagi suku tahun ketiga 2024 menunjukkan jumlah dagangan, eksport, dan import mengalami peningkatan berbanding tempoh yang sama tahun lalu. 

 

"Prestasi ekonomi yang memberangsangkan menyebabkan jumlah dagangan meningkat 13.7%, seiring dengan peningkatan eksport (+7.8%) dan import (+20.8%). Sebaliknya, lebihan dagangan berjumlah RM25.1 bilion, penurunan 57.5% berbanding tempoh yang sama pada tahun 2023," katanya. - DagangNews.com