Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]
KUALA LUMPUR 6 Okt. - Anak syarikat telekomunikasi, XOX Berhad iaitu XOX Hong Kong Limited (XOX Hong Kong) telah mengambil alih sebanyak 32,362,900 atau 9.16% saham dalam MACPIE Berhad.
Pengambilalihan ekuiti itu melibatkan jumlah RM15,849,643.60 yang telah berlaku pada 1 dan 2 Oktober lalu.
XOX menerusi pengumuman syarikat di Bursa Malaysia berkata, langkah itu memberi kelebihan buat syarikatnya dalam menguruskan konsert dan majlis yang menumpukan demografik XOX.
“Oleh itu, XOX dilihat sebagai pemegang saham besar dalam MACPIE pada 2 Oktober 2020 dan jumlah pemegangan saham adalah sebanyak 9.16%.
“Kos pelaburan agregat XOX dalam MACPIE berlangsung selama 12 bulan bermula 1 Oktober 2020,” kata XOX.
MACPIE yang sebelum ini dikenali sebagai Sterling Progress Berhad menumpukan perniagaan dalam industri muzik dan hiburan.
Berdasarkan penyata kewangan terkini MACPIE yang diaudit dan disatukan pada 30 Jun 2019, syarikat itu mencatatkan kerugian selepas cukai sebanyak RM3.57 juta dan aset bersih adalah RM49.05 juta.
Prospek segera bagi pendapatan MACPIE tidak memberangsangkan kerana terdapat Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dan Operasi Standard Prosedur (SOP) bagi perhimpunan hiburan berskala besar.
“Dengan asas pelanggan dan inovasi teknologi XOX, syarikat percaya bahawa kami dapat mengembangkan penawaran gaya hidup yang akan memberi keuntungan kepada kedua-dua syarikat,” tambah XOX. - DagangNews.com