KUALA LUMPUR 7 Jan - Penganalisis meramalkan tekanan inflasi akan menjejaskan purata hasil setiap pengguna (ARPU) bagi sektor telekomunikasi apabila pengguna mengurangkan perbelanjaan dan lebih cenderung kepada perkhidmatan data yang lebih asas.
Katanya, pelan pascabayar bernilai tinggi mungkin memberikan sedikit pertumbuhan ARPU tetapi sumbangannya kekal terhad akibat kematangan dan ketepuan pasaran mudah alih Malaysia yang mempunyai kadar penembusan hampir 150%.
BIMB Securities menjangkakan peningkatan ARPU yang minimum dalam tempoh terdekat bagi segmen prabayar berdasarkan strategi telekomunikasi semasa.
"Walaupun pengewangan selanjutnya dalam segmen mudah alih kelihatan terhad, rancangan tertumpu dan usaha pengoptimuman kos dijangka menyokong pertumbuhan pendapatan.
"Kami juga menjangkakan U Mobile memanfaatkan hasil daripada tawaran awam permulaan (IPO) yang dirancangnya dalam perjalanan melancarkan rangkaian 5G kedua negara.
"Sehubungan dengan itu, kami menjangkakan Maxis Bhd berkemungkinan akan bekerjasama dengan U Mobile dalam pembinaan rangkaian kedua, manakala CelcomDigi Bhd adalah lebih sesuai untuk rangkaian 5G pertama.
"Sebagai pengendali rangkaian mudah alih terbesar, mengecualikan CelcomDigi daripada pembinaan rangkaian kedua 5G negara merupakan langkash yang strategik," katanya dalam satu nota penyelidikan.
Pilihan utamanya untuk sektor itu ialah Telekom Malaysia Bhd dengan panggilan "beli" dan harga sasaran (TP) RM7.78 sesaham.
Keputusan kerajaan untuk mengelak daripada mengenakan caj tambahan bagi mengoptimumkan penggunaan perkhidmatan dan meningkatkan taraf hidup, mengalihkan tumpuan pengewangan 5G ke arah segmen perusahaan.
BIMB Securities menjangkakan rangkaian 5G kedua negara akan mengambil masa yang lebih lama untuk merealisasikan potensi sepenuhnya pada kadar semasa serta menjelaskan kerajaan perlu mempercepatkan keputusan memuktamadkan model rangkaian dwi 5G memandangkan sambungan berkembang pesat.
Bagi sektor ini, firma penyelidikan mengekalkan saranan "neutral" kerana potensi pertumbuhan ARPU terhad, pengewangan 5G lebih perlahan daripada jangkaan, ketidakpastian yang menyelubungi struktur muktamad model rangkaian dwi 5G dan kekurangan pemangkin dalam industri.
Walau bagaimanapun, firma tersebut menjangkakan peningkatan dalam pengewangan 5G dalam jangka panjang.
BIMB securities juga mengekalkan pandangan yang menggalakkan pemain tetap seperti Telekom Malaysia Bhd (TM) dan TIME Dotcom Bhd, berdasarkan usaha mereka menggunakan rangkaian 5G mereka sendiri dan mengembangkan backhaul gentian sejajar dengan inisiatif kerajaan di bawah fasa kedua Rangkaian Digital Nasional.
Pilihan utamanya untuk sektor ini ialah TM dengan panggilan "beli" dan TP RM7.78 memandangkan syarikat itu merupakan penyedia perkhidmatan kepada sektor awam dan swasta.
Sementara itu, BIMB Securities meramalkan peningkatan pelaburan dalam pusat data akan mendorong penggunaan 5G dan membuka kunci potensi pengewangan yang lebih besar bagi perniagaan intensif data dalam segmen perusahaan.- DagangNews.com