KUALA LUMPUR 7 Jan - Anak syarikat Leong Hup International Bhd, Leong Hup Feedmill Malaysia Sdn Bhd (LFM), diberikan kebenaran oleh Mahkamah Tinggi pada 2 Januari 2025 untuk membuat semakan kehakiman terhadap keputusan Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC).
Semakan itu berkaitan keputusan Tribunal Rayuan Persaingan (CAT) mengenai permohonan penangguhan semua prosiding mahkamah berhubung isu kartel makanan ayam yang turut membabitkan empat syarikat lain.
"Mahkamah Tinggi juga mengeluarkan perintah penangguhan sementara berhubung keputusan MyCC, sementara menunggu keputusan permohonan oleh LFM," kata Leong Hup dalam pemfailan kepada Bursa Malaysia.
Katanya, permohonan penangguhan sementara LFM bertujuan menangguhkan semua tindakan, prosiding dan penguatkuasaan keputusan MyCC, sementara menunggu keputusan permohonan semakan kehakiman LFM.
Mahkamah Tinggi menetapkan tarikh 8 April 2025 bagi pendengaran permohonan penangguhan sementara LFM.
Pada Disember 2023, MyCC mengenakan denda sebanyak RM415.5 juta terhadap lima syarikat pengeluar makanan ternakan, termasuk LFM, Gold Coin Feedmills (Malaysia) Sdn Bhd, FFM Berhad, Dindings Poultry Development Centre Sdn Bhd dan PK Agro-Industrial Products (M) Sdn Bhd.
MyCC mendapati, lima syarikat itu melanggar Seksyen 4 Akta Persaingan 2010 dengan mengadakan perjanjian anti-persaingan dan/atau amalan bersepadu dalam meningkatkan harga makanan ayam yang mengandungi tepung kacang soya dan jagung sebagai bahan utama, antara awal 2020 dan pertengahan 2022.
Berdasarkan penyiasatan yang dijalankan, MyCC mendapati terdapat sebanyak 29 pengilang makanan ayam di negara ini, dengan lima syarikat yang terlibat menguasai sekitar 40% daripada jumlah bahagian pasaran. - DagangNews.com