Ancom mahu ambil alih Nylex sepenuhnya - Sumber | DagangNews Skip to main content

Ancom mahu ambil alih Nylex sepenuhnya - Sumber

 

KUALA LUMPUR 28 April -  Ancom Berhad dilaporkan telah membuat tawaran untuk membeli 100% aset dan liabiliti di dalam Nylex (Malaysia) Berhad, menurut sumber. 

 

“Ancom telah mengeluarkan surat tawaran kepada lembaga pengarah Nylex, menawarkan pembelian 100% aset dan liabiliti Nylex. 

 

“Pembayaran itu akan bercampur-campur,” jelas sumber menurut laporan The Edge. 

 

Pada awal dagangan pagi ini, kedua-dua saham Ancom dan Nylex digantung, sementara menunggu pengumuman dibuat, menerusi makluman di Bursa Malaysia. 

 

Buat masa ini, Ancom yang merupakan syarikat induk Nylex memiliki 48.95% kepentingan dalam syarikat tersebut.

 

Ancom juga memegang 45.06% kepentingan dalam anak syarikatnya, Ancom Logistics Bhd (ALB).

 

Kumpulan itu juga mengambil langkah penstrukturan korporat dalam tempoh hampir tiga tahun lalu bagi meningkatkan kecekapannya.

 

Pengerusi Eksekutif Ancom, Datuk Siew Ka Wei dilaporkan mahu menggunakan tempoh tiga tahun itu untuk membetulkan semula kumpulan. 

 

ny

 

Ini selepas perniagaan logistik kumpulan di bawah ALB dan Nylex tidak berfungsi sebagai entiti berasingan.

 

Pada sekitar Julai tahun lalu, kumpulan itu mengumumkan langkah penstrukturan yang menyaksikan perniagaan logistik ALB bakal dipindahkan ke Nylex. 

 

Sebelum dagangan Ancom dan Nylex digantung, masing-masing mencatatkan nilai saham yang ditutup pada kadar RM1.68 dan 90.5 sen. - DagangNews.com