Aneka Jaringan catat untung bersih sebanyak RM1.3 juta pada 1QFY24 berbanding rugi bersih RM4.6 juta pada tahun lalu | DagangNews Skip to main content

Aneka Jaringan catat untung bersih sebanyak RM1.3 juta pada 1QFY24 berbanding rugi bersih RM4.6 juta pada tahun lalu

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 23 Jan - Aneka Jaringan Holdings Berhad mencatatkan untung bersih RM1.3 juta pada suku pertama berakhir 30 November 2023 (1QFY24) berbanding rugi bersih sebanyak RM4.6 juta pada suku sama tahun sebelumnya.

 

Kumpulan itu berkata, ia merupakan suku tahun kedua berturut-turut mereka kembali mencatatkan keuntungan selepas mula mencatatkan untung bersih sebanyak RM350,000 pada 4QFY23.

 

Pada asas suku atas suku, Aneka Jaringan mengalami peningkatan hasil sebanyak 14.10%, meningkat daripada RM51.52 juta pada 4QFY23 kepada RM58.78 juta pada 1QFY24.

 

Keuntungan sebelum cukai dan untung bersih kumpulan menunjukkan peningkatan ketara sebanyak 22.01% dan 292.35% kepada RM1.53 juta dan RM1.39 juta, masing-masing, pada 1QFY24.

 

Pengarah Urusan Aneka Jaringan, Pang Tse Fui berkata, prestasi cemerlang kumpulan itu pada 1QFY24 bukan sahaja menunjukkan keupayaan mereka menyesuaikan diri dan berkembang dalam pasaran yang mencabar tetapi juga menandakan pencapaian penting dalam pelan pemulihan selepas kembali memperoleh keuntungan pada 4QFY23.

 

Beliau berkata, kami positif dengan pertumbuhan PT Aneka Jaringan Indonesia  di Indonesia, yang merupakan bukti fokus strategik kumpulan terhadap kepelbagaian dan meluaskan jejak geografinya.

 

"Kemajuan yang dicapai dalam suku tahun lalu meletakkan asas kukuh kepada pemulihan berterusan dan pertumbuhan mampan kumpulan kerana kami kembali mencatatkan keuntungan bagi dua suku berturut-turut.

 

"​Kami komited bagi mengekalkan trajektori positif ini dan menyampaikan nilai yang mampan kepada pemegang saham kami pada FY24 dan seterusnya," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Sehingga 1QFY24, jumlah buku pesanan Aneka Jaringan meningkat kepada RM253.59 juta, dengan operasi Malaysia menyumbang RM227.69 juta dan peningkatan ketara daripada operasi Indonesia menyumbang RM25.9 juta. - DagangNews.com