Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
[email protected]
KUALA LUMPUR 10 Dis. - Anggaran pendapatan syarikat Top Glove Corporation Berhad (Top Glove) bagi tahun kewangan 2021 ditingkatkan sebanyak 8.8%.
MIDF Research berkata, anggaran tersebut dinaikkan susulan hasil pendapatan syarikat berkenaan bagi suku pertama tahun kewangan 2021 melebihi jangkaan pihaknya.
"Kami tingkatkan anggaran pendapatan tahun kewangan 2021 sebanyak 8.8% kerana pendapatan suku pertama tahun kewangan 2021 melebihi jangkaan kami sebelum ini.
"Bagaimanapun, kami tidak membuat perubahan dalam anggaran pendapatan tahun kewangan 2022 kami terhadap syarikat berkenaan," jelas MIDF Research.
Top Glove merekodkan peningkatan jumlah keuntungan bersih sebanyak 96.8% kepada RM2.4 bilion bagi suku pertama tahun kewangan 2021.
Jumlah tersebut menunjukkan peningkatan hingga 20 kali ganda berbanding RM111.43 juta bagi tempoh sama tahun lalu.
Pendapatan syarikat bagi suku yang sama turut meningkat 294% kepada RM4.8 bilion.
MIDF Research mengambil pendekatan untuk mengekalkan saranan 'beli' saham Top Glove dengan harga sasaran sesaham (TP) yang tidak berubah iaitu RM10.96.
Sementara itu, CGS-CIMB Research berkata, peningkatan pendapatan sebanyak 294% itu didorong oleh penjualan yang lebih tinggi yang meningkat 34% tahun ke tahun serta lonjakan harga purata jualan (ASP) sebanyak 201.8% tahun ke tahun.
"Pendapatan suku pertama tahun kewangan 2021 meningkat 53.1% berbanding suku lalu, manakala untung bersih pula meningkat 83.9% suku ke suku.
"Peningkatan itu didorong oleh ASP yang lebih tinggi iaitu 57% berbanding suku sebelumnya.
"Kami mengekalkan saranan 'tambah' saham Top Glove dengan mengurangkan TP kepada RM8.90," jelas CGS-CIMB Research. - DagangNews.com