ANGKASA, Boustead bersama Amazon, MAMBU, MCash mohon lesen perbankan digital Islam | DagangNews Skip to main content

ANGKASA, Boustead bersama Amazon, MAMBU, MCash mohon lesen perbankan digital Islam


KUALA LUMPUR 3 Julai - Boustead Holdings Bhd mewujudkan perkongsian dengan anak syarikat Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Bhd (ANGKASA), MyAngkasa Digital Services Sdn Bhd (MDS) dan syarikat pembrokeran insurans bebas untuk memohon lesen perbankan digital Islam daripada Bank Negara Malaysia (BNM).

 

Dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia pada Jumaat, Boustead menjelaskan rakan kongsi strategik lain yang akan bersama-samanya dalam usaha itu termasuk penyedia perbankan digital teras yang berpangkalan di Jerman, MAMBU; firma pakar penyelesaian awan, Amazon Web Services (AWS); dan peserta e-wang yang memegang lesen daripada BNM, MRuncit Commerce Sdn Bhd (MCash).

 

“Semasa tempoh pengasasan awal, konsortium MDS dijangka menumpukan pasaran kaptif bagi tujuh juta orang, kebanyakannya dalam kalangan yang belum menikmati atau kurang mendapat perkhidmatan,” menurutnya.

 

Presiden ANGKASA merangkap Pengerusi MDS, Datuk Abdul Fattah Abdullah yakin dengan prospek bagi memperoleh satu daripada lima lesen perbankan digital yang akan diberikan BNM.

 

Beliau berkata pandemik COVID-19 telah mempertingkatkan nilai dan keperluan terhadap perbankan digital dan mereka tidak mahu ketinggalan dalam gelombang itu.

 

“MDS akan menumpukan keterangkuman kewangan bagi segmen pasaran yang kurang dan tidak mendapat perkhidmatan, termasuk kumpulan B40 serta perusahaan kecil, sederhana dan mikro, terutama dalam lingkungan gerakan koperasi, untuk melonjakkan pertumbuhan ekonomi mampan keseluruhannya,” katanya.

 

Pengarah Urusan Kumpulan Boustead, Datuk Seri Mohammed Shazalli Ramly berkata, langkah itu bergerak seiring dengan rancangan syarikat untuk berkembang di luar perniagaan tradisionalnya yang beroperasi secara fizikal.

 

Beliau berkata ia akan menjadi pelaburan sulung di bawah Perkhidmatan Digital Boustead yang baru diwujudkan. - DagangNews.com