PETALING JAYA 11 Sept – Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA) menyarankan silibus keusahawanan koperasi diterapkan di institusi pengajian tinggi (IPT) negara ini.
Presiden Angkasa merangkap Presiden ASEAN CO-operative Organization (ACO), Dato’ Abdul Fattah Abdullah berkata, keusahawanan koperasi wajar dijadikan subjek teras mahupun elektif atau sekurang-kurangnya satu topik dalam modul keusahawanan di IPT Awam dan Swasta.
Katanya, ilmu keusahawanan koperasi amat penting diterapkan ke dalam diri para siswazah kerana melalui platform koperasi mereka mendapat ilmu bagaimana untuk menubuhkan perniagaan secara bersama berbanding dengan kerja makan gaji yang agak terhad sekarang akibat penularan wabak COVID-19.
Menurutnya, ANGKASA mahu golongan siswa lebih bersedia dengan ilmu keusahawanan koperasi kerana bukan sahaja bakal mendapat manfaat dari perniagaan malah membuka banyak peluang sosioekonomi kepada pelbagai lapisan komuniti.”
‘’Golongan siswa merupakan nadi penyambung kepada kepimpinan masa kini yang akan menentukan hala tuju pembangunan sosiekonomi negara pada masa hadapan,’’ katanya ketika merasmikan sesi webinar bertajuk ‘Hala Tuju Gerakan Koperasi Siswa Institut Pengajian Tinggi’ yang telah diadakan secara dalam talian pada Jumaat.
Abdul Fattah berkata, gerakan koperasi juga memerlukan sentuhan inovasi daripada golongan belia yang dapat memberi memberi nafas baharu agar kekal relevan sekali gus merangsang pertumbuhan ekonomi yang dinamik.
“Penglibatan golongan ini dapat membantu mengurangkan masalah sosial melalui aktiviti penjanaan ekonomi yang memberi impak positif bukan sahaja kepada diri mereka malah kepada masyarakat setempat,” ujar beliau.
Sehingga 31 Disember 2020, terdapat 208 buah koperasi siswa dengan keanggotaan seramai 161,662 orang; modal syer/yuran melebihi RM170.3 juta; aset melebihi RM579.4 juta dan menyumbang perolehan melebihi RM192.1 juta.
Manakala menurut Kementerian Pengajian Tinggi terdapat 597 buah Institut Pengajian Awam dan Swasta di seluruh negara.
“Peranan golongan ini sangat diperlukan buat masa ini untuk membantu membangunkan semula sektor ekonomi yang terkesan akibat pandemik COVID-19.
‘’Dan ANGKASA juga secara berterusan mengadakan kerjasama erat dengan Kementerian Pengajian Tinggi, Suruhanjaya Koperasi Malaysia dan Institut Koperasi Malaysia dalam mempelbagai strategi bagi menambah bilangan koperasi siswa dan menarik golongan itu menubuhkan atau menyertai koperasi,” kata Abdul Fattah. – DagangNews.com