Indeks Harga Pengeluar Malaysia menyusut 0.4% pada November 2024, sektor perlombongan terus menunjukkan trend penurunan - DOSM | DagangNews Skip to main content

Indeks Harga Pengeluar Malaysia menyusut 0.4% pada November 2024, sektor perlombongan terus menunjukkan trend penurunan - DOSM

Gambar NAIM AZIZ/Dagangnews
Oleh SYAZA NORAZHARUDDIN

KUALA LUMPUR 24 Dis - Indeks Harga Pengeluar Malaysia (IHPR) yang mengukur perubahan harga barangan di peringkat pengeluar, menyusut 0.4% pada November 2024 lebih perlahan berbanding penurunan 2.4% pada Oktober, kata Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM). 

 

Katanya, penurunan tersebut akibat sektor perlombongan yang terus menunjukkan trend penurunan, manakala sektor pertanian, perhutanan & perikanan mencatatkan peningkatan yang ketara. 

 

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, sektor perlombongan turun 8.3% pada November 2024, berbanding penurunan yang ketara sebanyak 17.3 peratus pada Oktober 2024, disebabkan oleh indeks pengekstrakan petroleum mentah. 

 

Sektor pembuatan mencatatkan penurunan lebih kecil, 1.8% berbanding penurunan 2.6% pada Oktober 2024. 

 

"Ini sebahagian besarnya akibat harga yang lebih rendah dalam indeks Pembuatan kok & produk petroleum bertapis (16.8%) dan Pembuatan bahan kimia & produk kimia (5.1%). 

 

"Sementara itu, sektor pertanian, perhutanan & perikanan mencatatkan peningkatan ketara 21.8% berbanding 13.8% pada bulan sebelumnya. 

 

"Ini disokong oleh indeks penanaman tanaman kekal menaik 37.7%, sektor Bekalan air meningkat 6.6%, manakala sektor bekalan elektrik & gas meningkat 0.9%," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Uzir
Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin

 

Beliau berkata, perbandingan antara negara terpilih menunjukkan IHPR Amerika Syarikat meningkat 3% bulan ini, berbanding peningkatan 2.6% pada Oktober 2024.

 

"IHPR Jepun meningkat 3.7% berbanding 3.6% pada bulan sebelumnya, akibat kos Produk pertanian, perhutanan dan perikanan. 

 

"Sebaliknya, harga pintu kilang barangan yang dikeluarkan oleh United Kingdom turun 0.6% pada November 2024, menyederhana daripada penurunan 0.9% pada Oktober 2024, didorong oleh kos yang lebih rendah bagi bahan kimia," katanya.

 

Beliau berkata, harga pengeluar China juga terus turun 2.5% pada November 2024, perlahan berbanding penurunan 2.9% pada bulan sebelumnya. 

 

Ini adalah deflasi pengeluar bulan ke-26 berturut-turut, yang terendah sejak Ogos 2024, di mana Beijing telah melaksanakan langkah kestabilan ekonomi bagi menghadapi akhir tahun.

 

DOSM

 

Berkenaan harga komoditi Malaysia yang terpilih, Mohd Uzir Mahidin menerangkan pada November 2024, harga minyak mentah global mengalamiperubahan turun naik yang didorong oleh faktor seperti keputusan mengenai bekalan oleh pengeluar minyak utama dan kebimbangan terhadap permintaan global menurut Laporan Pasaran Minyak November 2024 oleh Agensi Tenaga Antarabangsa (IEA).  

 

"Walaupun harga minyak mentah global merosot disebabkan oleh bekalan yang berlebihan dan kebimbangan ekonomi, harga Malaysia meningkat, disokong oleh kekuatan mata wang dan dinamik permintaan serantau.

 

Sementara itu, menurut Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC), harga minyak sawit mentah Malaysia berlegar sekitar RM5,000 satu tan pada bulan ini, disokong oleh ketidaktentuan dalam bekalan eksport dan penurunan dalam pengeluaran. - DagangNews.com