ASB umum agihan dividen 5.75 seunit bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2024 | DagangNews Skip to main content

ASB umum agihan dividen 5.75 seunit bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2024

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 24 Dis - Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB), syarikat pengurusan unit amanah milik penuh Permodalan Nasional Bhd (PNB) mengumumkan jumlah pengagihan pendapatan sebanyak 5.75 sen seunit untuk dana utamanya, Amanah Saham Bumiputera (ASB) bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2024. 

 

Jumlah tersebut terdiri daripada pengagihan pendapatan sebanyak 5.5 sen seunit dan bonus 0.25 sen seunit. Jumlah keseluruhan pengagihan pendapatan sebanyak RM10.1 bilion itu akan memanfaatkan 11.1 juta pemegang unit ASB.

 

Bilangan akaun ASB meningkat 2.4% kepada 11.1 juta akaun, mencerminkan keyakinan berterusan terhadap ASB sebagai instrumen simpanan dan pelaburan penting bagi golongan Bumiputera dalam perancangan kewangan mereka.

 

Pembayaran dividen ASB sebanyak 5.75 sen seunit adalah ketara lebih tinggi berbanding 5.25 sen seunit yang telah dibayar pada tahun 2023, dan menjadikan jumlah dividen yang diagihkan kepada pemegang unit ASB sejak penubuhannya kepada RM196.5 bilion. 

 

Untuk rekod, pengagihan dividen pada tahun ini adalah yang tertinggi sejak tahun 2019 di mana ASNB mengumumkan agihan pendapatan sebanyak 5.5 sen seunit merangkumi 5.00 sen dividen dan 0.50 sen bonus ketika itu.

 

asb

 

Prestasi ASB yang lebih baik ini adalah didorong oleh impak positif daripada strategi kepelbagaian aset PNB serta faktor pasaran ekuiti awam Malaysia yang kukuh, yang mendapat manfaat daripada pertumbuhan ekonomi Malaysia yang teguh dan pengukuhan ringgit. 

 

ASB terus memberikan pulangan yang mampan, mengatasi pulangan pasaran serta penanda arasnya iaitu kadar Deposit Tetap 12 bulan Maybank. 

 

Pengerusi Kumpulan PNB, Tan Sri Raja Arshad Raja Tun Uda berkata, pihakna berbesar hati kerana ASB mampu memberikan agihan dividennya yang paling kukuh sepanjang tempoh lima tahun, meneruskan rekod prestasi kukuh Dana Harga Tetap ASNB berbanding portfolio rujukan mereka, sejajar dengan matlamat PNB untuk mengukuh kedudukan kewangan rakyat, merentas generasi.

 

“Walaupun di tengah-tengah ketegangan geopolitik dan perdagangan global yang berterusan, persekitaran makroekonomi Malaysia kekal positif, disokong oleh permintaan domestik yang teguh, kadar faedah yang stabil dan peningkatan pelaburan asing disebabkan tindak balas kukuh pelabur terhadap inisiatif Madani," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

asb
Tan Sri Raja Arshad Raja Tun Uda

 

Sementara itu, pengiraan pengagihan pendapatan dan bonus untuk ASB adalah berdasarkan baki bulanan minimum purata yang dipegang sepanjang tahun kewangan dana tersebut. 

 

Unit yang dilaburkan semula daripada pengagihan pendapatan akan dikreditkan ke dalam akaun pemegang unit pada 1 Januari 2025. 

 

Transaksi untuk ASB di cawangan dan ejen ASNB, termasuk semua saluran dalam talian dan perbankan internet, akan digantung sementara dari 28 hingga 31 Disember 2024. 

 

Pemegang unit boleh meneruskan transaksi di semua saluran dalam talian dan perbankan internet bermula 1 Januari 2025, dan di mana-mana cawangan dan ejen ASNB bermula 2 Januari 2025.  - DagangNews.com