Anugerah Lagu Indie 2023: Pencipta lagu indie dipelawa hantar pencalonan hingga 31 Januari ini | DagangNews Skip to main content

Anugerah Lagu Indie 2023: Pencipta lagu indie dipelawa hantar pencalonan hingga 31 Januari ini

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 24 Jan - Pencipta lagu indie yang berminat mencalonkan lagu ciptaan mereka dalam Anugerah Lagu Indie 2023 dipelawa untuk menghantarkan karya lagu dalam apa-apa bahasa bermula 5 Disember 2023 hingga 31 Januari 2024.

 

Penganjur memaklumkan, lagu yang dicalonkan mestilah lagu ciptaan asli dengan lirik dan muzik yang asli, serta pernah diterbitkan dalam tempoh 1 Januari hingga 31 Disember 2023 menerusi platform YouTube, Spotify, Deezer, Apple Music, SoundCloud, Bandcamp atau radio.  

 

Katanya, Anugerah Lagu Indie yang merupakan sebuah platform yang dicipta khas untuk memberi pengiktirafan kepada lagu-lagu indie, kini memasuki tahun keempat dan kali ini diberi nafas baharu seperti yang dinanti-nantikan oleh komuniti muzik indie.

 

"Anugerah ini telah dianjurkan sebagai acara tahunan sejak 2020 dengan misi utamanya untuk memberdayakan komuniti muzik indie tempatan dengan menyediakan platform mencungkil bakat mencipta lagu, terbuka untuk semua rakyat Malaysia," katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.

 

Menurut kenyataan itu, demi meneruskan agenda mengangkat martabat dan karya ciptaan penulis lagu, pemuzik serta penyanyi indie, Anugerah Lagu Indie tahun ini diberi nafas baharu apabila memperkenalkan kategori-kategori lagu terbaik di bawah genre Pop, Rock dan HipHop.

 

Katanya, selain itu, ia turut menambah baik format pemarkahan dengan melibatkan undian awam serta meningkatkan tawaran hadiah wang tunai terkumpul daripada RM10,000 pada musim pertama kepada RM36,000 musim ini. 

 

"Semenjak penganjurannya pada 2020, Anugerah Lagu Indie masih meraikan pelbagai genre kerana industri indie bukan sekadar muzik rock alternatif, tetapi merentasi pelbagai sempadan runut, bunyi dan komposisi. 

 

 

ALI

 

 

"Anugerah ini sedang dalam fasa pencalonan yang akan berakhir pada 31 Januari 2024, dan meraikan kemuncak pada malam 7 Mac 2024," katanya.


 
Sementara itu, Penerbit Eksekutif Bersama Anugerah Lagu Indie, Ahmed Faris Amir berkata, ia bukan anugerah berdasarkan populariti, sebaliknya elemen indie dan kualiti sesebuah lagu itu sendiri yang menjadi kriteria utama dalam komponen penilaian juri.  

 

 

ALI

 

 

"Anugerah ini sangat penting dalam menambah variasi kepada lagu-lagu yang popular sekarang ini menerusi media arus perdana," katanya.

 

Sebarang maklumat lanjut, orang ramai boleh melayari laman web www.anugerahlaguindie.com.my. - DagangNews.com