Anugerah Perhubungan Awam Malaysia 2021 iktiraf usaha organisasi berdepan cabaran COVID-19 | DagangNews Skip to main content

Anugerah Perhubungan Awam Malaysia 2021 iktiraf usaha organisasi berdepan cabaran COVID-19

Oleh NABILA YASMIN RAZIB
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 30 Sept. -Persatuan Perhubungan Awam dan Komunikasi (PRCA) mengumumkan pelancaran ‘Anugerah Perhubungan Awam Malaysia 2021, edisi ke-13 (MPRA2021) yang bakal dilangsungkan pada  Disember ini.

 

Presiden PRCA Malaysia  Andy See berkata, acara tahunan tersebut telah ditangguh selama hampir dua tahun akibat pandemik COVID-19 dan kini kembali dengan beberapa perubahan termasuk penambahan kategori anugerah, pemilihan panel juri yang ternama dan berpengalaman serta sokongan organisasi ternama melalui beberapa pakej tajaan.

 

“Walaupun pendemik ini membawa cabaran besar kepada industri, ia juga membuka ruang untuk untuk industri mengetengahkan betapa pentingnya perhubungan awam dan komunikasi secara strategik dalam mengharungi cabaran dan tekanan pandemik ini. 

 

"MPRA2021 bakal memberi pengiktirafan kepada mereka yang mempamerkan daya ketahanan dan kemampuan pasukan perhubungan awam mengadaptasi dalam menghadapi krisis yang berterusan," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

 

Tambahnya, dua kategori khas telah diperkenalkan bagi mengiktiraf pencapaian inisiatif dan kempen terbaik semasa COVID-19.

 

Sementara itu, Ketua Jawatankuasa MPRA2021 Stefanie Braukmann berkata, COVID-19 telah menyerlahkan nilai sebenar perkhidmatan perhubungan awam  yang sekaligus mencerminkan misi sebenar penganjuran MPRA2021. 

 

"Agensi dan pasukan komunikasi dalaman sentiasa berada di barisan hadapan bagi memastikan setiap komunikasi dijalankan dengan efektif. 

 

"Di sebalik pelbagai penceritaan serta naratif – sama ada laporan kewangan, inisiatif ‘outreach’, kisah norma baharu dan usaha pematuhan SOP, terdapat pasukan perhubungan awam yang memastikan perkongsian maklumat tepat dapat menarik perhatian kumpulan sasar," katanya.

 

Penganjuran MPRA2021 akan diadakan di platform AwardStage, bagi kemudahan proses penyertaan serta penilaian panel juri secara atas talian dan penyertaan bagi acara berprestij industri perhubungan awam dan komunikasi itu kini dibuka sehingga 31 Oktober 2021.

 

"Untuk pendaftaran penyertaan serta maklumat mengenai tarikh penting, sila layari dan daftar di https://mpra.awardstage.com/," katanya.

 

Menurut Ketua Bersama Jawatankuasa MPRA2021, Prof. Said Bani CM Din, semasa ketidaktentuan ini, pendekatan komunikasi yang jujur dan sensitif terutamanya terhadap pekerja, amat penting bagi kesejahteraan mental dan fizikal mereka.

 

''Antara situasi yang wajib ditangani dengan penuh sensitiviti termasuk jaminan pekerjaan, isu kehilangan pekerjaan, pemotongan gaji dan SOP bekerja dari rumah,” ujar beliau.

 

Tambah Prof. Bani, Agensi Perhubungan Awam tidak terkecuali menghadapi cabaran era pandemik ini.

 

Oleh itu, MPRA2021 telah memperkenalkan Anugerah ‘Penghargaan Khas’ bagi mengiktiraf agensi ‘ADAPT’ terbaik – yang berjaya memimpin syarikat mengharungi cabaran pandemik, dengan penuh keprihatinan terhadap kebajikan pekerja, di samping memperkukuh perkhidmatan terhadap klien melalui pendekatan baharu serta kreatif.

 

COVID juga telah membawa perubahan tingkah laku, persepsi dan sikap pengguna. Laporan terbitan bersama Facebook for Business and Bain & Company pada 30 Ogos 2021 (https://www.facebook.com/business/news/southeast-asia-the-home-for-digital-transformation):  

  • Kesetiaan pada jenama didorong kualiti dan ‘product experience’ dan bukan pada harga.  
  • 51% pengguna beralih dari jenama yang mereka sering beli, dalam tempoh 3 bulan lalu. 
  • Aspek ESG adalah faktor penting yang mempengaruhi kesetiaan pelanggan: 90% pengguna bersedia membayar lebih untuk jenama yang memenuhi kriteria ESG.
  • Di Asia Tenggara, ESG adalah antara 5 sebab utama menukar jenama (ke-4 di Malaysia)

 

Tahun ini, MPRA dihos pada platform AwardStage, bagi kemudahan proses penyertaan serta penilaian panel juri secara atas talian. Untuk pendaftaran penyertaan serta maklumat mengenai tarikh penting, sila layari dan daftar di https://mpra.awardstage.com/ Tarikh Penting untuk MPRA2021

  •  Tarikh akhir tawaran penyertaan awal: Jumaat, 15 Oktober 2021
  •  Tarikh Tutup Penyertaan: Ahad, 31 Oktober 2021
  •  Pengumuman Pemenang dan Majlis Anugerah: Jumaat 17 Disember 2021    -DagangNews.com