Anwar harus buktikan ada sokongan mengikut proses Perlembagaan, kata PM | DagangNews Skip to main content

Anwar harus buktikan ada sokongan mengikut proses Perlembagaan, kata PM


Oleh JOHARDY IBRAHIM
editor@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 23 Sept. - Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, Datuk Seri Anwar Ibrahim harus membuktikan dakwaan mempunyai sokongan majoriti Ahli-ahli Dewan Rakyat mengikut proses dan kaedah yang ditentukan oleh Perlembagaan Persekutuan.

"Tanpa melalui proses tersebut, kenyataan Datuk Seri Anwar hanyalah dakwaan semata-mata.

"Sehingga dibuktikan sebaliknya, Kerajaan Perikatan Nasional masih berdiri teguh dan saya adalah Perdana Menteri yang sah.

"Saya memohon supaya rakyat bertenang menghadapi situasi ini. InsyaAllah, isu ini akan ditangani dengan baik menurut proses undang-undang dan Perlembagaan Persekutuan,'' kata Perdana Menteri dalam kenyataan di sini hari ini.

Pagi ini, Anwar mengadakan sidang akhbar khas mengumumkan bahawa beliau memiliki sokongan dan majoriti kukuh Ahli-ahli Parlimen dan meyakinkan, selagi gus bermakna kerajaan pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin telah jatuh.

Sementara itu, parti-parti yang bekerjasama dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN) menyatakan sokongan teguh kepada kepimpinan Muhyiddin.

Parti-parti tersebut iaitu Barisan Nasional (BN), Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Parti Islam Semalaysia (Pas), Gabungan Parti Sarawak (GPS), Parti Bersatu Sabah (PBS) dan Parti Solidariti Tanah Airku Rakyat Sabah (STAR).

``Justeru, gabungan parti yang membentuk Kerajaan PN ini menyangkal dakwaan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang kononnya beliau mempunyai sokongan majoriti untuk membentuk kerajaan.

"Kenyataan beliau itu tidak lebih hanya merupakan satu lagi ulangan publisiti murahan seperti yang pernah berkali-kali dilakukan sebelum ini.

"Tindakan terbaharu beliau ini juga menyerlahkan sikap rakus dan gila kuasa beliau yang ternyata sama sekali tidak mempedulikan soal kestabilan politik dan ekonomi negara serta nasib rakyat yang terjejas teruk akibat COVID-19.

"Kita yakin rakyat akan bangkit menolak politik sebegini malah akan bersama-sama menyokong Kerajaan Perikatan Nasional pimpinan Tan Sri Muhyiddin yang sentiasa prihatin akan kebajikan rakyat,'' kata kenyataan yang ditandatangani oleh wakil-wakil parti berkenaan.

Mereka ialah Tan Sri Annuar Musa, selaku Setiausaha Agung BN; Datuk Seri Hamzah Zainuddin (Setiausaha Agung Bersatu); Datuk Takiyuddin Hassan (Setiausaha Agung PAS); Datuk Alexander Nanta Linggi (Setiausaha Agung GPS), Datuk Jahid Jahim (Setiausaha Agung PBS), Guan Dee Kohor (Setiausaha Agung STAR). - DagangNews.com