AOB denda juruaudit tidak patuh Piawaian Pengauditan Antarabangsa | DagangNews Skip to main content

AOB denda juruaudit tidak patuh Piawaian Pengauditan Antarabangsa

KUALA LUMPUR 25 Ogos - Lembaga Pemantauan Audit (AOB) Suruhanjaya Sekuriti Malaysia mendenda seorang juruaudit, Sharinah Mohamed Iqbal, rakan audit PKF, kerana melanggar seksyen 31Z(1)(b) Akta Suruhanjaya Sekuriti Malaysia 1993 (SCMA).

 

Denda itu adalah disebabkan kegagalan juruaudit tersebut mematuhi Piawaian Pengauditan Antarabangsa semasa mengaudit entiti kepentingan awam (PIE).

 

''Mematuhi piawaian audit merupakan syarat pendaftaran untuk semua individu yang berdaftar dengan AOB.

 

''Sebagai Rakan Kongsi Tugasan (Engagement Partner) yang bertanggungjawab ke atas audit PIE, Sharinah telah gagal melaksanakan prosedur audit yang sewajarnya dan
memperoleh bukti audit yang kukuh untuk menyokong pendapat audit berkaitan kemampuan PIE untuk kekal beroperasi,'' kata suruhanjaya itu dalam kenyataan di sini hari ini.

 

Secara khususnya, kata suruhanjaya itu lagi, Sharinah telah gagal membuat susulan ke atas status pinjaman bank PIE berkenaan dan memperolehi bukti audit yang selanjutnya untuk menyokong kesimpulannya berkaitan dengan kemampuan PIE itu untuk membayar pinjaman banknya.

 

''Di samping itu, dia tidak melakukan penilaian kuantitatif ke atas kedudukan aliran tunai PIE yang lemah dan kemampuannya untuk memenuhi semua komitmen dan obligasinya. 

 

''Sharinah tidak memfailkan rayuan terhadap keputusan AOB tersebut dalam tempoh yang ditentukan di dalam SCMA,'' kata SC.  - DagangNews.com