KUALA LUMPUR 12 Julai - Persatuan Perhubungan Awam dan Komunikasi (PRCA) Malaysia dan Persatuan Pengamal Perhubungan Awam Malaysia (PRactitioners) mempersoalkan keperluan menggubal akta perhubungan awam.
Walaupun kedua-dua badan tersebut menyuarakan sokongan terhadap inisiatif itu untuk meningkatkan piawaian dalam industri Perhubungan Awam, namun mereka menyarankan pendekatan konsultatif dalam kalangan pengamal adalah penting untuk berbincang perlu atau tidak akta itu.
Sebarang perundangan bagi mana-mana industri harus dirancang dengan teliti melalui perbincangan menyeluruh melibatkan semua pihak berkepentingan.
Presiden PRCA Malaysia, Prof Mohd Said Bani menekankan tanpa pendekatan konsultatif, persoalan tentang akta itu akan membawa kepada pendapat dan justifikasi yang berbeza.
"Skop sebarang akta seharusnya dipertimbangkan dengan baik, merangkumi amalan etika, ketelusan, akauntabiliti, kecekapan profesional, kepentingan awam, dan piawaian industri," kata beliau beliau dalam kenyataan media hari ini.
Kenyataan media ini merujuk kepada beberapa kenyataan yang dibuat oleh sebuah persatuan perhubungan awam dalam sebuah media tempatan berbahasa Inggeris, pada 11 Julai 2024.
Kenyataan tersebut telah menyentuh tentang Akta Perhubungan Awam yang mendakwa persatuan berkenaan telah mengambil langkah ke arah memperkenalkan Akta berkenaan.
Dalam konteks ini, Mohd Said berkata, kenyataan tersebut tidak mewakili industri dan pengamal perhubungan awam dan komunikasi secara menyeluruh.
”Bercanggah dengan apa yang dinyatakan, tiada langkah yang diambil oleh mana mana pihak untuk mengadakan perbincangan dengan PRCA Malaysia, PRactitioners dan ahli ahli kami tentang perkara ini.
”Walaupun niatnya baik, namun anggapan bahawa cadangan Akta ini bakal menjadi jalan penyelesaian bagi cabaran-cabaran yang dihadapi oleh pengamal industri secara keseluruhan, berkemungkinan memperlekehkan realiti yang dihadapi oleh pengamal perhubungan awam,” ujar beliau.
Sementara itu Pengerusi PRactitioners, Datuk P. Kamalanathan menyatakan jika konsensus dicapai, akta itu harus dibangunkan dengan maklum balas menyeluruh daripada semua pihak berkepentingan, termasuk pengamal terbaik dan berpengalaman.
"Walaupun niat di sebalik cadangan Akta Perhubungan Awam adalah baik, adalah penting untuk mengambil pendekatan yang seimbang."
"Pengamal Perhubungan Awam perlu bersatu sebagai satu komuniti bagi membentuk masa depan industri secara kolaboratif, memastikan langkah pengawalseliaan memperkukuh dan bukan menghalang kemajuan kolektif industri," tambah beliau.
Kenyataan media tersebut menambah, secara umumnya, adalah tidak wajar bagi seseorang pengamal industri untuk membuat kenyataan tentang satu Akta Parlimen yang belum pernah timbul atau diperbincangkan secara menyeluruh.
”Sekiranya sesuatu Akta berada pada tahap pertimbangan, sebarang pengumuman seharusnya dibuat oleh pihak kerajaan bagi mengelak percanggahan kepentingan dan perkongsian maklumat yang salah atau kurang tepat,” katanya.- DagangNews.com