TIDAKKAH menarik jika semua kandungan media yang ada di setiap platform dapat dinikmati oleh setiap individu tanpa sebarang halangan?
Tidakkah menguntungkan jika setiap mesej kandungan media dapat diikuti dan difahami oleh setiap individu tanpa sebarang batasan?
Jadi penting bagi setiap pencipta dan pengedar kandungan media menyediakan kandungan media yang boleh diakses dan dinikmati oleh semua lapisan masyarakat tanpa perlu rasa tersisih.
Kebanyakan stesen televisyen ketika ini wajar diberikan pujian kerana menyediakan jurubahasa isyarat supaya setiap program yang dipertontonkan boleh difahami dan diikuti oleh mereka yang mempunyai masalah pendengaran.
Seperti yang kita dapat lihat, program-program seperti berita, dialog atau wawancara pasti akan ada jurubahasa isyarat yang disediakan.
Namun bagaimana pula dengan program-program yang lain seperti drama, atau filem?
Antara usaha yang dilakukan oleh pihak pembekal kandungan media atau pun stesen televisyen adalah dengan menyediakan sari kata.
Dengan ini, mereka yang tidak berupaya untuk mendengar, masih mampu untuk menghayati drama atau filem dengan adanya pilihan ini.
Tetapi jika seseorang itu bukan sahaja tidak berupaya untuk mendengar dengan baik malah tidak berupaya untuk membaca dengan lancar, bagaimana pula?
Bayangkan jika sedang penonton ini berusaha untuk membaca sari kata di satu-satu babak, tiba-tiba sudah bertukar pula babak lain. Bukankah itu sesuatu yang menyukarkan?
Malah, mesej yang cuba disampaikan melalui cerita yang dihasilkan juga tidak dapat disampaikan kepada para penonton sasaran dengan lengkap.
Jika ini berlaku, pasti akan berlaku kekeliruan atau salah faham dalam kalangan penonton.
Antara kaedah yang boleh diberikan perhatian oleh pihak stesen televisyen ini adalah dengan menyediakan bukan sahaja sari kata, tetapi juga keterangan cerita (caption) sebagaimana yang disediakan oleh platform penstriman yang popular ketika ini seperti Netflix, Astro dan lain-lain platform yang berbayar.
Pelbagai pilihan disediakan. Daripada pilihan sari kata, bahasa, dan keterangan cerita, semuanya disediakan bagi memenuhi keperluan para penonton rancangan di platform mereka.
Ini dilakukan agar setiap penonton dapat memahami dan menghayati setiap program yang disediakan ke tahap maksimum.
Selain itu, kaedah lain yang mungkin boleh diketengahkan adalah dengan menyediakan pilihan juru bahasa isyarat.
Pilihan ini dilihat sebagai satu nilai tambah yang baik buat mereka yang mempunyai pendengaran dan kebolehan untuk membaca yang agak terbatas. Kedengaran agak rumit.
Lebih-lebih lagi apabila memikirkan bagaimana mahu menyediakan jurubahasa isyarat untuk program-program televisyen ataupun platform penstriman yang melibatkan aksi, ataupun watak yang ramai dalam satu-satu masa ataupun adegan. Sudah pastinya banyak kajian, proses atau usaha untuk menyempurnakan kaedah ini.
Tetapi, jika tidak dimulakan, pasti tidak tahu sejauh mana keberkesanannya nanti.
Malah jika dilihat dari sudut lain, usaha ini juga dilihat sebagai salah satu platform pekerjaan yang bersesuaian buat mereka yang berkelayakan dan berkemahiran untuk berbahasa isyarat.
Mana tahu mungkin di masa hadapan, selain sari kata, bahasa dan juga keterangan cerita, kita juga boleh pilih untuk Sign On atau Sign Off. - DagangNews.com