Apabila perkauman dan diskriminasi tidak dikawal, akan diambil dan diteruskan oleh golongan muda | DagangNews Skip to main content

Apabila perkauman dan diskriminasi tidak dikawal, akan diambil dan diteruskan oleh golongan muda

Oleh MOHD FUDZAIL MOHD NOR

SEMASA kecil di Kuala Rompin, Pahang saya hidup berinteraksi dengan bangsa Cina, India dan suku orang Asli dengan baik sekali. Tanpa menyedari mereka siapa dari berlainan bangsa dan kami bermain dengan kepuasan.

 

Kawan saya terdiri dari pelbagai bangsa hingga tingkatan lima. Tiada apa-apa perasaan prejudis, rasis dan diskriminasi. Tiada Melayu, Cina, India, Orang Asli dan sesiapa saja.

 

Mungkin kerana saya dari percampuran keturunan bangsa Melayu dan Cina.

 

Apabila sudah habis sekolah dan keluar negara, ke New Zealand saya mula terasa perkauman tetapi saya tetap bergaul dengan sesiapa saja.

 

Saya baik dengan pelajar Cina dengan orang New Zealand terdiri dari Pakeha (orang kulit putih) dan Maori, selain Fiji, Tonga, Solomon, Tuvalu, New Caledonia dan Samoa, termasuk Indian Fiji.

 

Bagi saya semuanya sama sahaja untuk sama-sama menumpang di muka bumi. Mengapa ada perkauman, diskriminasi, prejudis antara satu sama lain? Saya tidak faham sikap yang menguasai dan terus menyerang perasaan.

 

Boleh dikatakan sebagai kanak-kanak, kita tidak mencipta perkauman, mereka belajar daripada orang dewasa di sekeliling mereka.

 

Kanak-kanak mempelajarinya daripada perbualan dan jenaka, daripada media dan media sosial.

 

Kanak-kanak cepat mengambil konsep, dan penerimaan komen dan tindakan yang kanak-kanak lihat, walaupun setelah dewasa telah diberitahu perkauman adalah salah. Tetapi tetap mengisi kehidupan.

 

Sekolah di Malaysia ada sekolah kebangsaan, sekolah cina dan sekolah tamil, mengikut bangsa, dan sekarang ada sekolah tahfiz. Anak-anak saya semuanya bersekolah di Dubai tanpa sekolah pengkhususan dengan bersekolah antarabangsa yang membuka minda dan fikiran.

 

 

fudzail

 

 

Anak-anak saya berkawan di Dubai dengan Arab tempatan, Arab dari pelbagai negara, orang Eropah, Amerika, India, Pakistan, Afrika dan lebih 200 bangsa dunia.

 

Bagi anak-anak saya, tiada perkauman dan apabila belajar matriks di Malaysia, anak-anak saya dipulaukan oleh bangsa Melayu dan hanya berkawan dengan bangsa Cina.

 

Saya hairan dengan orang Melayu menganggap anak-anak saya berlagak kerana tidak pandai bercakap Melayu. Sedangkan hampir semua universiti menggunakan bahasa Inggeris dan Arab, dua bahasa yang anak-anak saya mahir.

 

Begitu perkauman telah mula dirasakan.

 

Pernahkah terfikir dan sedar yang sikap perkauman merupakan satu kelakuan atau tabiat yang dipelajari, dan bukannya dilahirkan bersama. Tidak mungkin seseorang akan bersifat rasis kalau diajar untuk melihat kebaikan orang lain tanpa mengira warna kulit.

 

Seseorang tidak mungkin membezakan warna kulit kalau diajar untuk bersahabat tanpa batasan kaum dan agama. Realitinya tiada sesiapa yang dilahirkan dengan sifat perkauman. Boleh dikatakan didikan yang diterima sejak kecil dapat mengubah perspektif terhadap sesuatu sepanjang hayat.

 

Pihak pengurusan tertinggi sekolah diingatkan supaya tidak memulakan bibit-bibit perpecahan disebabkan isu perkauman dalam kalangan pelajar.

 

Sebaliknya sekolah merupakan tempat yang paling sesuai dan signifikan untuk menyemai semangat perpaduan pelajar yang terdiri daripada pelbagai kaum. Isu sebuah sekolah yang meletakkan syarat kaum bagi pendaftaran kokurikulum yang berlaku perlu diambil berat oleh pihak tertinggi sekolah.

 

 

fudzail

 

 

Pengurusan peringkat sekolah, guru besar, pengetua ambil berat perkara ini. Jangan mulakan bibit-bibit perpecahan yang ditanamkan dalam kalangan pelajar sekolah bermula dari awal lagi dengan perkara-perkara tidak sepatutnya.

 

Sebagai sebuah institusi pendidikan, sekolah merupakan tempat untuk membentuk sikap dengan menerapkan asas hormat menghormati, penerimaan satu kaum dengan kaum lain agar perpaduan bermula dari awal.

 

Pendidikan boleh dikategorikan kepada dua iaitu pertama pendidikan formal dan  kedua pendidikan tidak formal. Pendidikan formal berlaku di sekolah dan institusi pendidikan manakala pendidikan tidak formal berlaku melalui penglibatan ibu bapa, keluarga dan masyarakat setempat.

 

Perpaduan negara adalah satu daripada lima aspirasi sistem pendidikan negara. Aspirasi yang menekankan sistem pendidikan dengan menawarkan perkongsian pengalaman. Selain nilai kepada kanak-kanak dengan menghargai kepelbagaian.

 

Untuk memupuk perpaduan, sukatan pelajaran boleh diperkenalkan dengan topik-topik bertemakan perpaduan yang menyentuh berkenaan hubungan etnik dan agama dalam konteks masyarakat majmuk.

 

Memang bertepatan dengan objektif khusus pertama Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 yang memberi penekanan untuk mengukuhkan perpaduan dalam kalangan plajar. Isu dan topik perpaduan dapat diserapkan dalam mata pelajaran terutama pendidikan moral dan pendidikan Islam.

 

Menurut Pelan Pembangunan Pendidikan, kurikulum Pendidikan Agama Islam bagi murid Islam dan kurikulum Pendidikan Moral bagi murid bukan Islam. Ini diperkukuhkan agar melitupi tumpuan kepada pemahaman tentang nilai-nilai perpaduan dan hubungan baik sesama manusia. Hendaklah bersamaan dengan prinsip-prinsip Rukun Negara yang turut diajar.

 

 

fudzail

 

 

Pendekatan dalam bilik darjah, penerapan nilai-nilai perpaduan diperkukuh melalui aktiviti-aktiviti ko-kurikulum yang melibatkan aktiviti persatuan dan pakaian beruniform.

 

Pendekatan melalui aktiviti-aktiviti di luar bilik darjah yang berkonsepkan  berasaskan pengalaman  dan menekankan amali yang lebih berkesan berbanding pembelajaran dalam bilik darjah.

 

Pelbagai aktiviti  dilaksanakan dengan melibatkan pelajar pelbagai kaum dari sekolah yang sama dan dari sekolah yang berbeza berdasarkan demografi di sesuatu kawasan.

 

Sektor swasta dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO)  turut bekerjasama berdasarkan sumber, kemahiran dan kemampuan. Misalnya kem muhibbah yang melibatkan aktiviti perkongsian budaya dan interaksi di antara pelajar-pelajar di sekolah kebangsaan dan sekolah jenis kebangsaan Cina dan Tamil boleh dilaksanakan.

 

Pendidikan tidak formal memupuk perpaduan nasional melalui interaksi dan aktiviti antara komuniti, pertandingan sukan berbilang kaum dan keterlibatan dalam kerja-kerja sukarela melalui badan-badan bukan kerajaan (NGO).

 

 

fudzail

 

 

Penglibatan komuniti  menyelesaikan sesuatu masalah yang dihadapi bersama melalui pendekatan pelbagai kaum. Ini melalui dialog dan sesi perbincangan dalam isu-isu sensitif yang melibatkan hubungan antara kaum dan agama. Penyelesaian sesuatu permasalahan dapat diselesaikan dengan baik dan dalam suasana yang harmoni dan aman tanpa pertelingkahan.

 

Dari itu usaha-usaha untuk memupuk perpaduan dapat dilaksanakan melalui pendidikan formal dan tidak formal. Semangat kerjasama antara kaum dapat dibina dalam kalangan generasi muda dari awal lagi dengan menggunakan bahasa Melayu.

 

Pendidikan yang bersifat inklusif dan kolaboratif amat penting untuk membangunkan negara yang terdiri dari masyarakat majmuk. Usaha pendidikan dapat membina jati diri generasi masa depan yang menghargai kepelbagaian. Selain menggembeleng kepelbagaian demi kepentingan agama, bangsa dan negara.

 

Tetapi buat masa ini dengan media sosial, perkauman terus dimainkan oleh orang dewasa sehingga kanak-kanak turut sama prejudis dan diskriminasi terhadap bangsa lain. Kita lihat sahaja rangkaian WhatsApp yang tidak habis memaki dan mencaci bangsa lain dengan sesuatu kes.

 

Kita bertanya, sampai bila? Mungkin sampai kiamat.

 

Mohd Fudzail Mohd Nor merupakan kolumnis DagangNews.com