APB Resources cadang ambil alih 10.41% pegangan saham Globetronics berharga RM140 juta | DagangNews Skip to main content

APB Resources cadang ambil alih 10.41% pegangan saham Globetronics berharga RM140 juta

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 18 Dis - APB Resources Berhad bercadang pengambilalihan 10.41% pegangan atau 70 juta saham dalam Globetronics Technology Berhad berharga RM140 juta.

 

Kumpulan itu berkata, Globetronics yang merupakan pemain utama dalam sektor perkhidmatan pembuatan elektronik (EMS) berada pada kedudukan terbaik dalam pasaran elektrik dan elektronik (E&E) yang sedang berkembang di Malaysia.

 

Menurut laporan Institut Penyelidikan Perubatan (IMR), pasaran itu berada pada trajektori menaik, dengan unjuran menunjukkan bahawa eksport E&E akan mencecah RM629.10 bilion pada 2023 dan terus berkembang pada kadar pertumbuhan tahunan kompaun (CAGR) sebanyak 7.9%, berpotensi mencecah RM867.83 bilion menjelang 2027. 

 

Tinjauan pasaran yang positif itu mengukuhkan keputusan kumpulan APB untuk melabur dalam Globetronics sebagai langkah strategik dan tepat pada masanya.
 

"Setelah selesai cadangan pengambilalihan ini, APB akan muncul sebagai pemegang saham kedua terbesar dalam Globetronics. 

 

"APB juga bercadang untuk melantik wakil korporat ke lembaga pengarah Globetronics bagi mengukuhkan lagi komitmen dan perkongsian kumpulan," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
 

APB dijangka terlibat dalam perakaunan ekuiti untuk pelaburan ini sebagai syarikat bersekutu, berikutan semakan dengan juruaudit kumpulan. 

 

Pendekatan itu akan membolehkan APB mengiktiraf bahagian keuntungan Globetronics selaras dengan kepentingan ekuiti 10.41%. 

 

Langkah kewangan strategik seperti itu dijangka akan meningkatkan pendapatan kumpulan APB dan mewujudkan aliran pendapatan tambahan.
 

Lembaga pengarah APB berkata,  pelaburan itu menadakan pengembangan strategik ke dalam industri pertumbuhan tinggi. 

 

"Sebagai pemegang saham kedua terbesar, kami berharap dapat menyumbang dengan ketara kepada hala tuju masa depan dan kejayaan Globetronics.

 

"Pengambilalihan ini bukan sekadar pengembangan portfolio kami; ia adalah satu lonjakan ke arah potensi pendapatan yang dipertingkatkan pada masa depan dan kehadiran yang lebih kukuh dalam sektor teknologi," katanya.
 

 

Sehingga tengah hari 18 Disember 2023, harga saham APB berada pada RM2.65, mewakili permodalan pasaran RM299.1 juta. - DagangNews.com