Apex Healthcare ambil alih hartanah perindustrian bernilai RM66.5 juta di Melaka  | DagangNews Skip to main content

Apex Healthcare ambil alih hartanah perindustrian bernilai RM66.5 juta di Melaka 

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 1 Dis - Apex Healthcare Bhd akan mengambil alih hartanah perindustrian di Kawasan Perindustrian Cheng di Melaka daripada Panasonic Appliances Refrigeration Devices Malaysia Sdn Bhd yang bernilai RM66.5 juta.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, Apex Healthcare berkata anak syarikatnya, Xepa-Soul Pattinson (Malaysia) Sdn Bhd telah memeterai perjanjian jual beli bersyarat pada 1 Disember 2023 untuk membeli tanah tersebut atas dasar 'pembeli sanggup penjual sanggup'.

 

Cadangan pengambilalihan tersebut akan dibiayai melalui gabungan dana yang dijana secara dalaman dan/atau pinjaman luar yang akan dijamin, katanya.

 

Hartanah seluas 8.38 hektar itu terdiri daripada enam bidang tanah perindustrian dengan kompleks perindustrian, yang digunakan untuk pembuatan bahagian peti sejuk.

 

Kompleks perindustrian itu terdiri daripada dua bangunan kilang utama dan struktur sampingan lain yang didirikan di atas tanah, dengan gabungan keluasan lantai kasar binaan kira-kira 377,888 kaki persegi.

 

Menurut Apex Healthcare, hartanah tersebut terletak secara strategik di seberang dan 400 meter dari kilang pengeluaran semasa XEPA dalam kawasan perindustrian yang sama. 

 

"Kedekatannya menawarkan kelebihan pengurusan dengan meminimumkan pertindihan perkhidmatan sokongan yang akan diperlukan jika kemudahan pengeluaran diperluaskan dibina di tapak yang jauh.

 

"Tambahan pula, bangunan perindustrian sedia ada di tapak telah dinilai sebagai sesuai untuk pengubahsuaian bagi memenuhi keperluan pembuatan XEPA, dengan berkesan mengurangkan kos pembinaan baharu," katanya.

 

Tanpa sebarang keadaan tidak dijangka dan tertakluk kepada terma dan syarat dalam perjanjian jual beli, cadangan pengambilalihan dianggarkan selesai pada atau selepas 31 Julai 2024.  - DagangNews.com