Apex Healthcare catat peningkatan untung bersih sebanyak 68% kepada RM34.84 juta pada suku keempat | DagangNews Skip to main content

Apex Healthcare catat peningkatan untung bersih sebanyak 68% kepada RM34.84 juta pada suku keempat

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 22 Feb - Apex Healthcare Berhad mencatatkan peningkatan untung bersih sebanyak 68% kepada RM34.84 juta untuk suku keempat berakhir 31 Disember 2022 (4QFY22) berbanding RM20.73 juta pada suku sama tahun sebelumnya.

 

Hasil kumpulan bagi suku itu juga melonjak 11.6% kepada RM220.49 juta berbanding RM197.66 juta bagi suku sama tahun lalu. 

 

Keputusan suku keempat menyaksikan untung bersih 2022 mencapai paras tertinggi baharu sebanyak RM100.97 juta iaitu pertumbuhan 69.9% berbanding RM59.44 juta pada tahun sebelumnya.

 

Hasil bagi tahun itu juga meningkat kepada paras tertinggi bersejarah sebanyak RM877.74 juta, meningkat 13.9% mengatasi RM770.76 juta pada 2021.

 

Prestasi kewangan kumpulan yang kukuh bagi suku tersebut disumbangkan oleh pemulihan ekonomi yang mampan dalam pasaran utamanya, keyakinan pengguna yang bertambah baik, pengembangan kapasiti pengeluaran yang tepat pada masanya, dan sumber dan pembekalan pesat produk penjagaan kesihatan.

 

Kumpulan itu mencatatkan jualan yang kukuh bagi ubat-ubatan pernafasan, terutamanya produk batuk dan selsema disebabkan oleh kelaziman COVID-19 dan penyakit pernafasan lain sepanjang separuh kedua 2022.

 

Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif Apex Healthcare, Dr Kee Kirk Chin berkata, daya tahan dan penyesuaian kumpulan itu membolehkan mereka mencatatkan pertumbuhan yang kukuh dalam kedua-dua hasil dan keuntungan sepanjang tiga tahun.

 

Beliau berkata, walaupun unjuran untuk 2023 dijangka lebih perlahan akibat tekanan ekonomi global dan momentum pemulihan yang perlahan, industri farmaseutikal berkemungkinan kurang terjejas kerana permintaan untuk ubat-ubatan secara amnya kekal stabil.

 

"Jumlah perbelanjaan kesihatan akan terus berkembang pada 2023 sejajar dengan peningkatan gaya hidup, perbelanjaan awam yang lebih tinggi, peningkatan insiden penyakit kronik dalam populasi yang semakin tua, serta peningkatan jangkaan dan kecanggihan pengguna dalam penjagaan kesihatan," katanya dalam satu kenyataan. - DagangNews.com