Apex Securities ramal QES Group catat prestasi lebih baik pada separuh kedua 2024 disokong buku pesanan kukuh | DagangNews Skip to main content

Apex Securities ramal QES Group catat prestasi lebih baik pada separuh kedua 2024 disokong buku pesanan kukuh

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 22 Ogos - Apex Securities meramalkan QES Group Bhd mencatatkan prestasi lebih baik pada separuh kedua 2024 disokong buku pesanan yang kukuh.

 

Katanya, buku tempahan semasa kumpulan bernilai RM111 juta (pengedaran: RM85 juta, pembuatan: RM26 juta),

 

Firma penyelidikan itu berkata, pemulihan lebih besar dijangka berlaku pada 2025 dipacu pemulihan keseluruhan industri pembuatan.

 

"Menjelang FY25F, kami menjangkakan pemulihan dan pertumbuhan yang lebih kukuh untuk kumpulan itu, terutamanya selepas kilang Batu Kawan mula beroperasi pada suku pertama 2025.

 

"Pertumbuhan itu mungkin akan disokong oleh pemulihan yang lebih kukuh dalam industri, yang boleh menimbulkan keyakinan yang lebih besar dalam perbelanjaan modal (capex)dan pemulihan ekonomi global," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Terdahulu, untung bersih kumpulan itu pada 2QFY24 susut 7.4% kepada RM6.4 juta berbanding RM6.9 juta pada tahun sebelumnya tetapi hasil bagi suku berkenaan berkembang kepada RM68 juta berbanding RM67 juta pada 2QFY23.

 

Prestasi suku tahun ke suku tahun yang lebih kukuh didorong terutamanya oleh pemenuhan pesanan dengan masa utama penghantaran yang panjang untuk mesin pengedaran dan peningkatan sumbangan daripada segmen pembuatan margin lebih tinggi.

 

Apex Securities berkata, walaupun terdapat pemulihan dalam permintaan semikonduktor global dan jualan yang bertambah baik, ketidakpastian masih wujud dalam industri, terutamanya disebabkan oleh keraguan pelanggan dalam melakukan pelaburan capex yang ketara, terutamanya di China.

 

Katanya, keadaan itu menyebabkan prospek masa hadapan menjadi kabur.

 

Firma penyelidikan itu mengekalkan ramaln pendapatan kumpulan dan memperkenalkan unjuran untung bersih teras FY26 sebanyak RM46 juta mencerminkan potensi pertumbuhan 14%.

 

"Pertumbuhan itu dijangka didorong oleh pengembangan di bahagian pembuatan dan peningkatan sumbangan daripada mesin bahagian hadapan semikonduktor, yang menawarkan margin yang lebih baik. 

 

"Kami mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran 85 sen sesaham," katanya. - DagangNews.com