Aplikasi OpenAcademy buka jalan untuk pengamal industri menjadi pencipta kandungan bertumpukan pembelajaran | DagangNews Skip to main content

Aplikasi OpenAcademy buka jalan untuk pengamal industri menjadi pencipta kandungan bertumpukan pembelajaran

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 16 Mac - OpenAcademy menawarkan aplikasi untuk pengamal industri menjadi pencipta kandungan yang menyediakan bahan bertumpukan pembelajaran secara interaktif.

 

Aplikasi OneAcademy yang telah dikemas kini dengan menambah baik antara muka pengguna (user interface) memudahkan pengamal industri agar berupaya membina dan menguruskan sendiri kandungan di samping menjana pendapatan melalui perkongsian minat dan pandangan di akaun mereka.

 

“Bahagian ‘Creator Hub’ (hab pencipta kandungan) membolehkan pengamal industri merakam dan memuat naik kandungan secara terus, dapat mengakses maklumat pengikut dan pelanggan serta melihat pendapatan yang telah dijana,” kata Pengarah Urusan OpenAcademy, Celine Ting dalam majlis pelancaran semalam.

 

Aplikasi itu menyediakan bahan pembelajaran berbentuk video, artikel dan infografik, di mana menurut Celine, pengguna hanya perlu meluangkan masa kurang daripada lima minit dengan pilihan pelbagai topik seperti pemasaran digital, keusahawanan, kesihatan mental, kepimpinan, pengumpulan dana dan lain-lain.

 

 

Celine Ting
Celine Ting

 

 

Beliau berkata OpenAcademy pada mulanya menjalankan program pembelajaran secara fizikal namun pandemik Covid yang melanda dunia pada 2020 mengubah pendekatan mereka dengan membangunkan aplikasi agar ilmu boleh dikongsi secara dalam talian.

 

Pengguna dapat mengakses maklumat secara percuma serta boleh melanggan kandungan premium, di mana pengguna boleh memilih program langganan bulanan atau tahunan yang masing-masing berharga RM67.99 atau RM369.99.

 

Di samping itu, kredit pencipta atau ‘Creator Credits’ boleh dibeli serendah RM4.99 untuk pengguna melanggan pencipta kandungan pilihan mereka.

 

“Pencipta kandungan diberi kebebasan untuk memuat naik bahan secara percuma dan menetapkan harga terhadap bahan tertentu untuk dikongsikan di aplikasi ini.

 

 

pengunjung

 

 

Kami juga terbuka bagi perbincangan berkenaan penetapan harga mahupun panduan untuk penciptaan kandungan,” kata Celine sambil menambah pihaknya menitikberatkan kualiti dan kredibiliti bahan dengan menyediakan khidmat nasihat dan kawal selia.

 

Aplikasi itu kini menawarkan lebih 500 video dan 500 bahan pendidikan interaktif daripada pengamal industri dan mula memperluaskan pasaran ke Singapura dan Filipina.

 

OpenAcademy menyasarkan 100,000 pengguna seluruh Asia Tenggara dan mengintai peluang untuk mendapatkan 70 hingga 100 pencipta kandungan dalam jangka masa yang singkat.

 

“Kami juga sedang melihat untuk menambah ciri interaksi agar pengguna dapat berhubung secara langsung dengan pencipta kandungan dan bahan yang lebih spesifik bersesuaian dengan pengguna,” tambah Celine. -DagangNews.com