KUALA LUMPUR 19 Okt - Bagi memastikan aspek bantuan semasa kecemasan di perairan lancar, sebanyak 22 agensi berkaitan bergabung menjayakan Latihan Mencari dan Menyelamat (Sarex) Fasa 3 di perairan Tawau, Sabah.
Latihan ini dikoordinasikan oleh Maritim Malaysia (APMM) melibatkan 150 pegawai dan anggota pelbagai agensi kerajaan seperti yang terkandung dalam Arahan Majlis Keselamatan Negara (MKN) 20 Bencana Maritim.
Antaranya polis, Tentera Laut Diraja Malaysia, Kementerian Kesihatan, Jabatan Bomba dan Penyelamat dan Angkatan Pertahanan Awam.
Latihan ini juga dilaksanakan seiring panduan Manual Mencari dan Menyelamat (SAR) Kebangsaan serta International Aeronautical and Maritime Search and Rescue (IAMSAR) Malaysia Jilid IV.
Ia bertujuan menguji dan meningkatkan kemahiran serta kerjasama antara agensi-agensi terlibat dalam operasi SAR.
Suasana realistik latihan digambarkan menerusi simulasi situasi bencana sebenar bagi meningkatkan kecekapan dan daya tindakan dalam menghadapi kemungkinan kejadian seumpama ini.
Kejayaan latihan ini menjadi tonggak bagi peningkatan kesediaan dan ketangkasan agensi-agensi yang terlibat dalam operasi selain tugas yang kompleks ketika bencana maritim berlaku di kawasan perairan negara.
Simulasi Sarex Fasa 3 kali ini menjadikan senario insiden perlanggaran antara sebuah feri penumpang dengan sebuah bot.
Melalui insiden ini, agensi yang terlibat dalam simulasi terbabit akan memainkan peranan masing-masing dengan mengambil tindakan sewajarnya ketika bencana berlaku.
Simulasi berkenaan turut disaksikan pemerhati luar yang terdiri daripada pegawai agensi keselamatan dan penguat kuasa serta pihak swasta yang berkaitan.
Latihan ini juga dapat menambah baik sebarang kekurangan sebagai panduan pada latihan Sarex selanjutnya. - DagangNews.com