Apple rancang keluarkan kenderaan menjelang 2024 | DagangNews Skip to main content

Apple rancang keluarkan kenderaan menjelang 2024

 

SAN FRANCISCO 22 Dis. - Syarikat pengeluar jenama iPhone, Apple Inc. berhasrat untuk mengeluarkan kenderaan dengan teknologi pandu sendiri menjelang tahun 2024.

 

Kenderaan itu juga, seperti dikhabarkan sumber, bakal dihasilkan dengan teknologi bateri canggih. 

 

Rancangan bagi mengeluarkan automotif sendiri yang digelarkan sebagai Project Titan, telah bermula sejak 2014 apabila model kenderaan itu mula dilakarkan.

 

Namun, Apple bertindak untuk menarik semula usaha tersebut bagi menumpukan projek perisian dan menilai semula matlamat syarikat teknologi besar itu. 

 

Menurut Reuters, pekerja veteran Apple, Doug Field yang pernah bekerja dengan Tesla Inc. kembali untuk menilai semula projek automotif itu pada 2018 dan seterusnya menghentikan 190 pekerja daripada pasukan tersebut pada 2019.

 

Kata sumber yang mahu identiti dirahsiakan, Apple telah menghasilkan beberapa perkembangan untuk mengeluarkan kenderaannya sendiri yang lebih kepada kegunaan peribadi berbanding robo-taxi yang membawa penumpang.

 

Dalam perkembangan bateri, teknologi itu dilaporkan dapat menjimatkan kos bateri dan meningkatkan jangkauan kenderaan. 

 

Masih belum pasti siapa yang akan dilantik untuk memasang jenama kenderaan Apple kerana syarikat itu mungkin bergantung kepada rakan industri pembuatan untuk membina kenderaannya.

 

Project Titan itu memberi cabaran buat Apple untuk menghasilkan cabang pengeluaran kenderaan sendiri memandangkan syarikat itu selama beberapa tahun mengaut keuntungan daripada produk elektronik, dan tidak pernah menembusi industri automatif. 

 

Pengasas kenderaan elektrik dan canggih Tesla, Elon Musk mengambil masa sehingga 17 tahun sebelum berjaya mengaut keuntungan stabil daripada pengeluaran kenderaannya. - DagangNews.com