Artroniq ambil alih 60% pegangan ekuiti Fujim Digital bernilai RM12 juta | DagangNews Skip to main content

Artroniq ambil alih 60% pegangan ekuiti Fujim Digital bernilai RM12 juta

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 18 Julai - Artroniq Berhad telah menandatangani perjanjian pembelian saham (CSPA) untuk mengambil alih 60% pegangan ekuiti dalam syarikat kejuruteraan Fujim Digital Sdn. Bhd. dengan nilai RM12 juta.

 

Cadangan pengambilalihan itu datang bersama jaminan keuntungan tidak kurang daripada RM2.1 juta untuk tempoh 1 Mei 2022 hingga 30 April 2023 dan 1 Mei 2023 hingga 30 April 2024.

 

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Artroniq, Chin Yew Thong berkata, pihaknya berhasrat untuk segera menyempurnakan pemerolehan Fujim Digital yang akan meletakannya di dalam perniagaan kejuruteraan.

 

"Cadangan pengambilalihan itu akan membantu kumpulan mengurangkan kebergantungan terhadap sesuatu perniagaan selain menyediakan aliran pendapatan baharu sambil mencari peluang untuk mengembangkan perniagaan dalam industri perkhidmatan sokongan kejuruteraan," katanya dalam satu kenayataan, hari ini.

 

Buat masa sekarang, perniagaan teknologi maklumat Artroniq merupakan penyumbang tunggal pendapatan kumpulan selepas pemberhentian operasi perniagaan pembuatan sebatian resin untuk wayar dan kabel dan sebatian resin untuk industri lain pada 22 September 2020.

 

Yew Thong berkata, aliran pendapatan alternatif untuk kumpulan akan membantu memulihkan pemulihan dalam era pasca COVID-19.

 

artroniq

 

"Saya optimis bahawa pemegang saham berkongsi keterujaan yang sama seperti pihak pengurusan mengenai potensi industri jentera berprestasi tinggi dan menyokong cadangan pengambilalihan semasa mesyuarat agung luar biasa yang akan datang," katanya.

 

Dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia menunjukkan bahawa cadangan pemerolehan itu melibatkan pengambilalihan 156,000 saham biasa dalam Fujim Digital daripada Teoh Boon Thiam yang akan dipenuhi melalui tunai dan baki RM6 juta melalui penerbitan saham biasa baharu syarikat.

 

artroniq

 

Fujim Digital merupakan syarikat berpangkalan di Pulau Pinang yang terlibat dengan kejuruteraan ketepatan terutamanya dalam perdagangan, pembuatan, dan reka bentuk jig dan lekapan, komponen perkakas ketepatan, bahagian jentera dan produk berkaitan serta penyelidikan dan pembangunan dengan pembekal mekanikal.

 

Ia juga menyediakan penyelesaian fabrikasi sehenti daripada reka bentuk kepada pengeluaran, alatan peralatan dan sokongan untuk memenuhi keperluan pemasangan. - DagangNews.com