KUALA LUMPUR 22 Ogos - Artroniq Berhad kembali mencatatkan untung bersih pada suku kedua berakhir 30 Jun 2022 (2QFY22) sebanyak RM327,000 berbanding kerugian RM205,000 pada suku sama, tahun lalu.
Dalam satu kenyataan, syarikat komunikasi dan teknologi maklumat (ICT) itu berkata, keuntungan itu disumbangkan oleh margin untung kasar lebih tinggi berbanding suku semasa.
Hasil pada 2QFY22 menurun sebanyak 45.1% kepada RM33.59 juta daripada RM61.21 juta disebabkan hasil yang lebih rendah daripada pasaran tempatan dan Asia untuk segmen perniagaan produk ICT.
Syarikat itu berkata, perniagaan pembuatan sebatian resin untuk wayar dan kabel dan sebatian resin untuk industri lain telah menghentikan operasinya pada 22 September 2020.
Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Artroniq, Chin Yew Thong berkata, persekitaran perniagaan yang mencabar bagi syarikat kerana ia menghadapi pelbagai halangan dalam ekonomi global.
Tekanan inflasi yang lebih tinggi daripada jangkaan, terutamanya di Amerika Syarikat (AS) dan ekonomi utama Eropah telah menyebabkan perubahan dari segi monetari global.
BACA JUGA: Artroniq dilantik firma Taiwan edar produk di Malaysia
“Sementara itu, China juga menyaksikan kelembapan ekonomi di beberapa bandar utama untuk membendung penularan jangkitan COVID-19.
"Sebagai sebuah syarikat, kami terus menyemak dan menyelaraskan semula strategi perniagaan kami yang seterusnya untuk mengharungi ketidaktentuan ekonomi ini.
"Hasilnya, kami berbangga untuk kembali mencatat keuntungan pada 2QFY22 dan kami akan terus menambah baik kecekapan operasi," katanya.
Bagi tempoh enam bulan, Artroniq mencatatkan kerugian bersih RM228,000 daripada untung bersih RM4.8 juta, manakala hasil susut 6.9% kepada RM96.32 juta daripada RM102.95 juta.
Sementara itu, anak syarikat Artroniq, Artronix Sdn. Bhd. (ATX) telah dilantik sebagai pengedar bukan eksklusif untuk memasarkan produk oleh Even Systems Co Ltd.
Produk berkenaan merangkumi peralatan, lesen perisian, produk elektronik dan pakej perisian tertutup.
Even Systems dan anak syarikatnya yang berpangkalan di AS, Pioneer Solution Inc, mereka bentuk dan mengeluarkan barisan lengkap komputer semua-dalam-satu khusus industri, monitor skrin sentuh, kiosk dan tablet.
Penyelesaian berasaskan pasaran Even Systems telah digunakan dalam persekitaran runcit, hospitaliti, automasi kilang, permainan dan penjagaan kesihatan. - DagangNews.com