KUALA LUMPUR 16 Sept - Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berharap pihak ASEAN dan China dapat menyegerakan penambahbaikan Perjanjian Perdagangan Bebas ASEAN-China (ACFTA) untuk manfaat bersama.
Jelas beliau, ini ialah kerana persetujuan telah diberikan kepada Kajian Kebolehlaksanaan Bersama bagi mempertingkatkan keberkesanan ACFTA untuk memastikan perjanjian ini menjadi lebih inklusif, moden dan komprehensif.
Selain itu, menurut Perdana Menteri langkah mempelbagaikan usaha dalam bidang perdagangan dan pelaburan amatlah penting supaya wujud kerjasama yang berterusan antara ASEAN dan China.
Perjanjian ACFTA juga harus menjadi asas hubungan perdagangan ASEAN-China selain terus berperanan memudahkan perdagangan antara kedua-dua belah pihak bagi manfaat perniagaan dan komuniti serantau, kata Ismail Sabri ketika berucap secara maya pada majlis perasmian Ekspo China-ASEAN (CAEXPO) ke-19 hari ini, Bernama melaporkan.
"Di sebalik cabaran getir akibat berlakunya pandemik COVID-19 ini, kita perlu terus bekerjasama dan menggalakkan jalinan hubungan perdagangan pelbagai hala bagi mendepani juga krisis-krisis luar jangka yang mungkin berlaku pada masa hadapan berikutan ketidaktentuan geopolitik dunia," tambah beliau.
Seperti dinyatakan dalam Rangka Kerja Pemulihan Ekonomi ASEAN (ACRF), Ismail Sabri berkata usaha serantau perlu ditingkatkan bagi mengekalkan kesinambungan rantaian bekalan dan mempermudahkan pergerakan barangan dan perkhidmatan dengan menghapuskan halangan perdagangan.
"Langkah ini perlu disokong juga dengan infrastruktur utama seperti pelabuhan, lapangan terbang dan jaringan logistik yang bersesuaian bagi memastikan aktiviti perdagangan dapat berjalan lancar, sekali gus dapat menyumbang kepada usaha pemulihan ekonomi serantau," tambahnya.
Menurut Perdana Menteri lagi, perkembangan ini amat kritikal terutamanya bagi perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), yang menjadi tulang belakang ekonomi bagi sesebuah negara.
"Sehubungan itu, saya ingin menyarankan supaya ASEAN dan China mempergiatkan kerjasama dalam perkongsian ekonomi digital bagi memacu penggunaan teknologi dalam kalangan PMKS ke arah memperkasakan perniagaan mereka," kata Ismail Sabri.
Sementara itu, bagi mengetengahkan keunikan Malaysia, Astaka Malaysia (Malaysia Pavilion) di CAEXPO 2022 menampilkan tiga kategori sebagai tarikan utama, iaitu makanan dan minuman; produk gaya hidup; dan produk penjagaan kesihatan.
Perdana Menteri berkata pameran ini bakal disertai oleh pelbagai agensi kerajaan, syarikat-syarikat Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) serta syarikat-syarikat konglomerat yang terkemuka di serantau ASEAN seperti Petronas, Air Asia dan kumpulan Shang-ri La Hotel.
"Saya turut difahamkan pameran CAEXPO ini merupakan salah satu hasil kerjasama dalam kalangan semua negara anggota ASEAN dan China di bawah ACFTA.
"Pameran CAEXPO diharap akan terus membuka ruang dan peluang kepada komuniti perniagaan Malaysia untuk meneroka kerjasama dalam sektor perdagangan, supaya ekonomi negara dapat kembali pulih dengan kadar yang pantas," kata Ismail Sabri.
Katanya, ini juga seiring dengan tema CAEXPO tahun ini yang menekankan perkongsian kemakmuran bersama yang juga merupakan agenda utama pembangunan ekonomi Malaysia.
Mengenai Perjanjian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) pula, Ismail Sabri berkata perjanjian yang dimuktamadkan selepas lapan tahun rundingan sebagai isyarat positif kepada dunia bahawa ASEAN dan China, bersama-sama negara anggota RCEP lain juga komited terhadap integrasi ekonomi, memastikan rantaian bekalan transnasional tidak terjejas dan memastikan pasaran terus terbuka.
"Perjanjian ini juga membolehkan perniagaan tempatan mendapat akses pasaran lebih luas dan berpeluang meningkatkan rantaian bekalan serantau serta mempelbagaikan jaringan pengeluaran masing-masing, selain membantu mengurangkan kos bagi menjalankan perniagaan.
"Saya gembira perjanjian ini bakal memperkukuh perniagaan dan rantaian bekalan serantau, serta mempelbagaikan rantaian pengeluaran bagi penyepaduan yang lancar ke arah pemulihan dan pertumbuhan ekonomi global," ujar beliau. - DagangNews.com